Mungkin ini konsert yang terakhir – Hetty Koes Endang

 

Oleh Pena Merah

Mungkin ini konsert yang terakhir - Hetty Koes Endang
Hetty Koes Endang

“Siapa tahu, mungkin ini konsert saya yang terakhir?”

Tergamam saya mendengar kenyataan penyanyi bersuara emas, Hetty Koes Endang sewaktu beliau mempromosikan konsert After Hours With Hetty Koes Endang baru-baru ini.



Penghibur legenda ini seakan-akan memberi bayangan tentang satu titik penghujung bagi kerjaya nyanyiannya yang terbina lebih lima dekad.

“Sudah 53 tahun saya berada dalam dunia hiburan. Sudah capek (penat). Apa lagi yang saya cari?

“Biarlah kesempatan selepas ini diisi mereka yang muda.

“Di Malaysia terlalu ramai penyanyi baru yang hebat dan berbakat. Selepas ini saya lebih senang menjadi pemerhati kepada generasi baru,” ujarnya.



Untuk kepastian, saya bertanya lagi kepada Hetty, adakah selepas ini beliau merancang untuk mengucap selamat tinggal kepada dunia seni?

Jelasnya, hala tuju masa depan berbeza. Mungkin lebih menjurus kepada bakti dan sumbangan untuk masyarakat.

“Saya sudah tidak mencari-cari tawaran untuk persembahan komersial, sebaliknya lebih senang kepada persembahan amal.

“Contoh seperti After Hours With Hetty Koes Endang yang mana sebahagian kutipan jualan tiket akan disumbangkan kepada rakyat Palestin.



“Selepas ini saya lebih mahu berkongsi kepada saudara kita yang memerlukan,” ujarnya.

After Hours With Hetty Koes Endang  bakal berlangsung 24 Febuari depan bertempat di Grand Shah Alam Convention Centre, dekat sini.

Turut membuat persembahan adalah penyanyi Naqiu, Intan Maya dan Zul 2BY2.

Malam istimewa itu nanti juga bakal menyaksikan persembahan istimewa Hetty dan anaknya, Afifah Yusuf yang julung kali diadakan di negara ini.



Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.tix-box.com atau hubungi 0177118945 untuk pertanyaan lanjut.

POSITIF HATI DAN MINDA

Itu rahsia bagaimana Hetty mengekalkan stamina memuaskan pada usia 66 tahun. Katanya tiada yang lebih utama selain hati dan fikiran yang sentiasa positif.

“Semua ini pancaran dari hati dan minda. Yang paling penting, fikiran kena sentiasa positif.



“Selain itu, jangan pernah berhenti berkarya kerana karya inilah yang akan terus bercerita apabila seseorang anak seni itu sudah tiada satu masa nanti.

“Sebab itu saya selalu nasihatkan kepada penyanyi muda, jangan asyik keluarkan single. Besar manfaatnya ada album. Single tidak bersifat abadi,” jelasnya.

-Utusan-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button