Enam ditahan menyamun dengan senjata

Oleh – Syeikh Baran


Enam ditahan menyamun dengan senjata
Foto hiasan.

Kegiatan samun bersenjatakan parang dan besi yang aktif di daerah ini tumpas susulan penahanan enam lelaki termasuk pelajar Tingkatan Satu.

Mereka berusia antara 13 hingga 27 tahun ditahan dalam operasi di Simpang Ampat, di sini dan Sik, Kedah pada Isnin dan Selasa lalu.



Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, tiga daripada suspek itu termasuk pelajar berusia 13 tahun akan didakwa di mahkamah, hari ini.

“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama di Mahkamah Alor Gajah, manakala tiga lagi dibebaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arshad berkata, mereka dipercayai terbabit dengan kes samun terhadap tujuh pekebun warga asing dengan tiga kes dilapor pada Disember lalu.

Katanya, suspek bukan hanya melarikan barang berharga dan wang tunai, malah bertindak ganas dengan menetak serta memukul mangsa menggunakan besi dan parang



“Kejadian pertama pada kira-kira 1.30 pagi, 4 Disember membabitkan tiga warga Bangladesh yang disamun lima lelaki bersenjata dan menutup muka di kebun sayur, Kampung Padang Kambing, Simpang Ampat.

“Kejadian kedua membabitkan mangsa tiga lelaki Bangladesh disamun lapan lelaki yang menggunakan modus operandi sama. Mangsa membuat laporan pada 4 Disember mendakwa disamun sehari sebelum itu di rumah kongsi kebun sayur Kampung Melekak,” katanya.

Arshad berkata, laporan seterusnya diterima daripada pengurus kebun yang mendakwa seorang pekerjanya warga Bangladesh ditetak dan disamun enam lelaki di rumah kebun di Jalan Kebus Simpang Ampat 1 pada 20 Disember lalu.

Secara keseluruhan, katanya, suspek menyamun wang tunai hampir RM9,000 dan mengambil empat telefon bimbit.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button