Suspek bunuh Bella didakwa hari ini

Oleh – Syeikh Baran


Suspek bunuh Bella didakwa hari ini
DNA rangka sepadan dengan sampel daripada ibu dan kakak kepada Bella. – Foto BH

Seorang daripada tiga suspek yang ada kaitan dengan penemuan rangka milik Mila Sharmila Samsusah atau Bella, yang hilang sejak 14 Disember lalu, akan didakwa di mahkamah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya mengesahkan rangka ditemui dalam rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah adalah Bella selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sepadan dengan sampel daripada ibu dan kakak mangsa.



Ismail berkata, polis sudah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut jenazah di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

“Analisis DNA yang dihantar ke Jabatan Kimia pada 21 Januari lalu diterima polis hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Ujian DNA dijalankan pada Sabtu lalu dengan polis mengambil sampel tisu daripada Norhisham, 36, dan ibunya Noraini Salleh, 55, bagi menentukan rangka ditemui dalam rumah terbiar ialah Bella.

Sejak hari pertama penemuan rangka itu, Norhisham yang lebih mesra dengan panggilan Ayu serta ahli keluarganya cuba menenangkan keadaan dengan mengharapkan ia bukan adik bongsunya.



Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.

Kehilangan Bella yang mempunyai dua anak, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, hanya disedari pada keesokan hari selepas mesej dan panggilan telefon dihantar Norhisham, tidak dijawab.

Polis kemudiannya turut menahan teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan turut menahan dua lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Bella bagi membantu siasatan.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button