Didakwa menyamar pegawai polis, samun dan rogol wanita

Oleh – Syeikh Baran


 

Didakwa menyamar pegawai polis, samun dan rogol wanita
TERTUDUH yang memakai baju banduan diiringi keluar anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pelbagai pertuduhan jenayah. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara kepada seorang banduan selepas tertuduh mengaku bersalah menyamun seorang wanita dan menyamar sebagai pegawai kanan polis.



Tertuduh, Callixto S. Arambala, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni selepas tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati mencuri dua buah telefon bimbit bernilai RM850 serta dompet mengandungi wang RM40 serta dua keping kad bank milik seorang wanita berusia 25 tahun.

Mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tertuduh turut didapati melarikan kenderaan jenis Toyota Vios milik wanita sama dan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 379A kanun sama.



Selain itu, tertuduh juga didakwa menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat asisten superintenden dan didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam prosiding sama, tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Sesyen di sini pula, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam atas dua pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan terhadap mangsa sama pada 17 dan 18 September 2023 di sebuah bilik hotel dalam daerah Melaka Tengah.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Rashidah Baharom manakala tertuduh yang sedang dipenjara atas kesalahan sebelum ini tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sumber – UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button