Titah Adendum: Jangan biar rakyat ternanti-nanti

Oleh – Syeikh Baran


Titah Adendum: Jangan biar rakyat ternanti-nanti
Ahmad Bashah (duduk, tengah) pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Kedah, Alor Setar pada Isnin.

UMNO Bahagian Alor Setar merayu agar permohonan petisyen Datuk Seri Najib berkenaan kewujudan Titah Adendum diputuskan segera oleh mahkamah secara adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Ketuanya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, UMNO Alor Setar sangat mengambil serius mengenai perkembangan terbaru dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu mengenai Titah Adendum Yang Dipertuan Agong ke-16.



Menurutnya, ahli akar umbi UMNO dan rakyat ternanti-nanti perkembangan seterusnya perkara tersebut agar keadilan sebenar kepada Najib dapat ditegakkan sebaik mungkin.

“UMNO Bahagian Alor Setar juga melakarkan sokongan penuh pada tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan nombor tiga berhubung Titah Adendun Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-16.

“Perkara ini melegakan Najib (Datuk Seri) untuk menjalani baki hukuman beliau sebagai ‘tahanan rumah’ dan bukan terus di Penjara,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Kedah, di sini pada Isnin.

Bekas Menteri Besar itu berkata lagi, perkara tersebut serius dan perlu diberi keutamaan serta penjelasan penuh oleh kerajaan agar tidak mencemarkan imej dan titah Yang Di-Pertuan Agong yang memiliki hak prerogatif baginda sebagaimana diperuntukkan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.



Tambahnya, UMNO Bahagian Alor Setar ingin menegaskan bahawa isu ini perlu diselesaikan segera oleh pihak berkenaan agar urus tadbir dan tata kelola kerajaan selari dengan perlembagaan.

Pada Rabu lalu, media melaporkan Ahmad Zahid mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum itu supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca Titah Adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.



Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button