Ditahan semula selepas empat jam

Oleh – Syeikh Baran


Ditahan semula selepas empat jam
Seorang lelaki yang merupakan orang kena tahan (OKT) berjaya ditahan semula selepas empat jam melarikan diri semasa dalam tahanan lokap di Kompleks Mahkamah Pasir Mas pada Ahad. – Foto: Media sosial

Seorang lelaki yang merupakan orang kena tahan (OKT) berjaya ditahan semula selepas empat jam melarikan diri semasa dalam tahanan lokap di Kompleks Mahkamah Pasir Mas pada Ahad.

Kejadian jam 10.35 pagi itu berlaku semasa proses keluar masuk OKT ke dalam lokap di lokasi terbabit.



Ketua Polis Dearah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, semasa kejadian OKT yang berada dalam keadaan tidak bergari telah keluar dari sel lokap Mahkamah Majistret dan terus melarikan diri.

“Rentetan dengan kejadian itu, Op Tutup telah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, bagaimanapun pada jam 2.30 petang OKT itu berjaya dijumpai dan ditangkap semasa berada di rumah ibu saudaranya di Kampung Kubang Badak.

Ujarnya, jarak rumah ibu saudara OKT dengan Kompleks Mahkamah Pasir Mas ialah sejauh 5 kilometer.



Kama Azural berkata, pada 25 Januari lalu OKT telah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambah beliau, hasil semakan mendapati OKT juga merupakan individu yang dikehendaki bersabit kes Seksyen 39C(1) ADB 1952.

“Pada Ahad (hari ini) OKT telah dibawa ke Kompleks Mahkamah Pasir Mas untuk proses pertuduhan di bawah Seksyen 39C(1) ADB 1952.

“Namun semasa berada di tahanan lokap mahkamah, OKT telah melarikan diri dari lokap,” katanya.



Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button