Tun Daim akan dihadap ke Mahkamah Sesyen KL esok
Oleh – Syeikh Baran
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 9, di sini esok berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Daim akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi.
Semalam, Daim dalam kenyataannya berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil rakaman percakapannya dan memaklumkan bahawa beliau akan didakwa pada Isnin (29 Januari) atas kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang merupakan kesalahan berkaitan dengan pendedahan aset.
Pada Rabu, SPRM mengesahkan telah mendapat kebenaran untuk mendakwa Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin di mahkamah namun ia terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan bekas Menteri Kewangan itu.
Pada 23 Januari lepas, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 66, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Sebelum ini, Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.
SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.
Menurut SPRM kertas siasatan bagi kes itu telah dibuka pada Februari tahun lepas. – Bernama
Sumber – SINAR HARIAN