Cabul dan memiliki video lucah, pembantu kedai didenda RM7,000
Oleh Pena Merah
Seorang pembantu kedai runcit didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencabul pelancong warga Sepanyol dan memiliki video lucah, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Aiman Danial Mohd. Najib, 22, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Tertuduh juga berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Lorong Seni atau Lorong Panglima Ipoh berdekatan Masjid Sultan Idris Shah Kedua di dalam daerah Kinta pada pukul 7 petang, 24 Januari 2024.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.
Tertuduh juga berdepan hukuman di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki video lucah di dalam telefon bimbit ketika ditahan di tepi jalan di Jalan C. M. Yusoff, Ipoh pada pukul 6 petang, 25 Januari 2024.
Sabit kesalahan, lelaki terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
-Kosmo-