50 saksi akan dipanggil pihak pendakwaan

 

Oleh Pena Merah

50 saksi akan dipanggil pihak pendakwaan
Bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan

Pendakwaan akan memanggil 50 saksi untuk memberikan keterangan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa yang dihadapi bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi ketika pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, hari ini.



Sementara itu, peguam bela, Chetan Jethwani, memberitahu mahkamah, pihaknya belum menerima pernyataan saksi daripada pendakwaan, dan berharap ia dapat diserahkan lebih awal bagi membuat persiapan sebelum perbicaraan bermula.

Katanya, pada masa sama, pembelaan sudah menerima empat ikatan dokumen berhubung kes manakala dua lagi belum diserahkan.

Menjawab persoalan itu, Rasyidah Murni berkata pihaknya akan menyerahkan pernyataan saksi dan baki dua ikatan dokumen terbabit sebelum perbicaraan bermula.

Difahamkan, antara saksi yang akan dipanggil memberikan keterangan dalam kes terbabit ialah kakitangan bank dan kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta ahli politik.



Pada 21 Februari tahun lalu, Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek terbabit.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram, antaranya bagi pembelian kereta Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia dan memindahkan ke beberapa akaun termasuk milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd.



Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 November 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button