Tiga pemuda Palestin dibunuh tentera Israel dalam hospital
Oleh Pena Merah
Tentera Israel menyamar masuk dalam sebuah hospital di Tebing Barat dan melepaskan tembakan sehingga tiga rakyat Palestin maut, hari ini, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Rejim Zionis mendakwa tiga yang maut itu adalah pejuang Hamas.
“Pagi ini tiga pemuda mati syahid akibat ditembak oleh penceroboh tentera yang menyerbu Hospital Ibn Sina di Jenin,” kata Kementerian Kesihatan di Ramallah.
Menceritakan kejadian itu, Pengarah hospital berkenaan, Naji Nazzal, berkata terdapat sekumpulan tentera Israel yang menyamar masuk ke dalam fasiliti kesihatan terbabit dan membunuh lelaki itu.
Menurut tentera Zionis, mereka bertindak membunuh lelaki yang dikatakan kononnya sedang bersembunyi di sebuah hospital dekat utara Tebing Barat yang diceroboh.
Memetik laporan berita rasmi Palestin Wafa menamakan tiga lelaki itu sebagai Muhammad Jalamnah, Muhammad Ayman Ghazawi dan Basel Ayman Ghazawi.
Mengulas lanjut, Naji berkata, pembedahan dilakukan di wad pemulihan hospital di mana Basel menjalani rawatan.
Tentera Israel menuduh Muhammad adalah pejuang Hamas yang menjadikan hospital sebagai tempat persembunyian. Manakala dua lagi ‘pengganas’ yang bersembunyi dalam hospital sudah dibunuh.
Zionis mendakwa Muhammad kononnya terbabit dalam kegiatan pengganas selain dikenali kerana mengedarkan senjata dan peluru.
“Muhammad merancang untuk melakukan serangan dalam masa terdekat dan menjadikan hospital sebagai tempat persembunyian. Oleh itu, dia telah dineutralkan,” dakwa tentera Israel. – AFP
-Berita Harian-