Aman Palestin failkan semakan kehakiman

 

Oleh Pena Merah

Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan 41 akaun bank miliknya dan entiti syarikat lain membabitkan wang sebanyak RM15 juta.



Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman (ex parte) terhadap SPRM dan Kerajaan Malaysia.

“Hingga hari ini, dua surat telah diutus kepada SPRM pada 27 November 2023 dan 9 Januari 2024, merayu dan memohon pertimbangan bagi akaun-akaun Aman Palestin dinyahbekukan untuk tujuan bantuan kewangan dihantar terus kepada mangsa keganasan perang di Palestin.

“SPRM tidak menjawab. Krisis kemanusiaan meruncing dan ratusan mati setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan berkata, pihaknya merakam beberapa keterangan saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu disyaki penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain objektif penubuhan syarikat itu.



Menurut SPRM, pihaknya telah membuat penggeledahan di premis Aman Palestin dan memperoleh dokumen berkaitan kewangan serta pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

Siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) serta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Aman Palestin memaklumkan, angka kematian akibat konflik di Gaza kini mencecah 26,751 mangsa termasuk 10,000 kanak-kanak, manakala 65,636 orang lagi cedera.

“Bantuan dan kempen kemanusiaan mesti diteruskan walau apapun terjadi. Aman Palestin tidak asing namanya bagi bantuan kemanusiaan ini di Gaza, Palestin, dan merentasi kawasan berhampiran Lubnan, Syria serta Yaman.



“Aman Palestin menyerahkan urusan ini kepada sistem kehakiman untuk mencapai kebenaran serta sebagai langkah untuk membersihkan namanya daripada tohmahan jahat dan dakwaan-dakwaan palsu penyelewengan RM70 juta (yang dinafikan),” dakwanya.

Beliau berkata, Aman Palestin sebagai institusi yang dikenali mempelopori bantuan kemanusiaan di Palestin dan mempunyai rangkaian persefahaman dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Turkiye, Syria, Lubnan dan kawasan sekitarnya, berharap rakyat Malaysia tidak kira bangsa serta agama akan terus mempertahankan hak masyarakat Palestin.

-Berita Harian-




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading