Trump tidak layak menjadi Presiden – John Bolton

 

Oleh Pena Merah

Trump tidak layak menjadi Presiden - John Bolton
John Bolton

Bekas Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Bolton mengecam bekas Presiden, Donald Trump sebagai seorang yang sangat mementingkan diri , gemar menghukum musuh, malah mungkin bersekongkol dengan Russia dan China menerusi edisi terbaharu memoirnya yang dilancarkan semalam.

Bolton yang berkhidmat di White House ketika Trump menjadi Presiden pada 2018 dan 2019, menuduh calon presiden Republikan itu tidak mempunyai falsafah politik atau pandangan dasar yang koheren.



“Trump tidak layak menjadi Presiden. Jika empat tahun pertamanya sudah teruk, empat tahun kedua pasti akan lebih teruk,” tulis Bolton.

Amaran itu dibuat dalam buku bertajuk The Room Where It Happened  yang mencatatkan pengalaman Bolton selama 17 bulan sebagai penasihat keselamatan negara Trump.

Bolton berkata, sebelum berkhidmat, beliau tersilap mempercayai beban jawatan akan mendisiplinkan Trump tetapi  kemudian mendapati bekas presiden itu lebih mengutamakan kepentingan dirinya sendiri.

“Trump mengambil berat hampir secara eksklusif tentang kepentingannya sendiri. Beliau ingin dikelilingi oleh pegawai White House yang akan melaksanakan perintahnya tanpa dipersoalkan,” katanya.



Bolton juga berhujah, Trump mungkin akan menggembirakan Presiden Russia, Vladimir Putin sambil menambah, dasar beliau mengenai Ukraine dalam penggal kedua akan memihak kepada Moscow.

Taiwan juga bakal berdepan bahaya dalam penggal kedua Trump selepas Bolton mendakwa hubungannya dengan China di bawah Presiden, Xi Jinping bakal mencetuskan krisis dan mungkin mampu menyekat pulau itu.

“Ia adalah pertandingan rapat antara Putin dan Jinping yang paling gembira melihat Trump kembali memegang jawatan,” tulisnya.-REUTERS

-Utusan-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button