Tahun keempat krisis pasca rampasan kuasa

Oleh – Syeikh Baran


Tahun keempat krisis pasca rampasan kuasa
Seorang penunjuk perasaan memegang poster yang memaparkan Aung San Suu Kyi semasa tunjuk perasaan menentang rampasan kuasa tentera di hadapan Bank Negara Myanmar di Yangon pada 15 Februari 2021. – Foto AFP

Tahun ini genap empat tahun keempat Myanmar berada dalam belenggu rampasan kuasa, sekali gus menamatkan tempoh singkat negara diperintah secara demokrasi, dengan junta memberi amaran akan melakukan ‘apa sahaja diperlukan’ untuk menumpaskan penentangan terhadap pemerintahannya.

Junta melanjutkan keadaan darurat selama enam bulan menjelang ulang tahun rampasan kuasa olehnya, tindakan itu membuatkan pilihan raya yang dijanjikan sekali lagi ditangguhkan ketika ia bergelut membatalkan penentangan yang semakin meningkat terhadap pemerintahannya.

Tinjauan mendapati jalan-jalan di hab komersial Yangon lebih sunyi daripada biasa pada pagi ini, kata wartawan AFP, ketika penentang tentera menggesa orang ramai tidak keluar rumah dalam ‘mogok senyap’ menentang rampasan kuasa.

Bas yang biasanya penuh sesak pada waktu puncak kelihatan hampir kosong, sementara di sebuah pasar peniaga mengemas gerai mereka dan pulang awal.



“Saya tidak akan keluar antara 10 pagi dan 4 petang hari ini,” kata seorang pekerja yang pejabatnya terletak di Yangon kepada AFP, yang merujuk kepada tempoh ‘mogok senyap’.

“Saya puas melihat tidak ramai orang keluar di jalanan.

“Ini bukti perpaduan kita menentang rampasan kuasa,” katanya yang enggan dikenali atas sebab keselamatan.

Sementara itu, di hab perlombongan jed dan delima utara di Mogok, lokasi pertempuran baru-baru ini, jalan rayanya hampir lengang.



“Sebahagian penduduk berhijrah ke bandar lain berikutan sejak akhir-akhir ini sering tercetus pergaduhan. Orang ramai takut tetapi masih mahu menunjukkan solidariti,” kata seorang penduduk.

Hari ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa keganasan di Myanmar ditamatkan dan pemerintahan negara itu kembali kepada demokrasi pada ‘ulang tahun suram’, ekoran semalam, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pusingan baru sekatan.

Pada 1 Februari 2021, ketika awal pagi pasukan keselamatan menangkap pemenang Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi serta ahli Parlimen dari parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) ketika mereka bersedia mengambil kerusi di parlimen.

Tentera mendakwa penipuan berleluasa berlaku semasa pilihan raya beberapa minggu sebelum ini, apabila NLD berhasil mengalahkan pesaing yang disokong tentera dalam undian pemerhati membuat kesimpulan sebahagian besarnya bebas dan adil.

Di seluruh negara, perarakan besar menentang rampasan kuasa itu disambut oleh tindakan keras yang kejam dan berterusan yang menyebabkan beribu-ribu penunjuk perasaan mencari jalan untuk melawan.

Lebih 4,400 orang terbunuh dalam tindakan keras tentera terhadap perbezaan pendapat dan lebih 25,000 ditangkap, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Perbezaan pendapat terbuka di jalan-jalan di pusat bandar utama sekian lama dihalang oleh peluru junta, belantan dan rangkaian polis dan pemberi maklumat yang menyamar.

Bagaimanapun, di seluruh pelosok negara, tentera sedang bergelut untuk menghancurkan penentangan terhadap pemerintahannya.

‘Pasukan Pertahanan Rakyat’ antirampasan kuasa yang muncul ekoran tindakan keras mengejutkan tentera dengan kecekapannya, kata penganalisis dan mengheret tenteranya ke dalam rawa berdarah.

Malah pada penghujung Oktober, pakatan pejuang etnik minoriti melancarkan serangan mengejut di negeri Shan utara, menawan sebahagian besar wilayah dan mengawal laluan perdagangan yang menguntungkan ke China.

Sementara itu, menurut PBB, pertempuran dan tindakan balas itu memusnahkan sebahagian besar Myanmar dan memaksa lebih dua juta orang meninggalkan kediaman mereka.

Perjanjian damai yang diusahakan oleh Beijing menghentikan pertempuran di utara, tetapi perikatan itu sebahagian besarnya mengekalkan pengaruhnya baru-baru ini dan pertempuran berterusan di tempat lain.

Lantunan kemunduran juga menjejaskan semangat dalam kalangan pegawai peringkat rendah dan pertengahan, menurut beberapa sumber tentera yang dihubungi oleh AFP, yang kesemuanya tidak mahu nama mereka disiarkan.

Semalam, Ketua Junta, Min Aung Hlaing berkata, tentera akan melakukan ‘apa sahaja diperlukan’ untuk menumpaskan penentangan terhadap pemerintahannya.

Disebabkan tempoh darurat berakhir tengah malam tadi, keadaan darurat itu dikekalkan untuk ‘meneruskan proses memerangi pengganas’, kata junta dalam kenyataan.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, Menteri Luar Australia, Kanada, New Zealand, Norway, Korea Selatan, Switzerland, United Kingdom dan AS, dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), menggesa tentera membebaskan tahanan politik dan menghentikan keganasan terhadap orang awam.

Situasi hak asasi manusia di Myanmar berada dalam ‘jatuh mendadak’, kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, minggu ini.

Kumpulan Junta membakar kampung, melakukan pembunuhan di luar undang-undang dan menggunakan serangan udara dan pengeboman artileri untuk menghukum masyarakat yang menentang pemerintahannya, kata penentang dan kumpulan hak asasi manusia.

Junta terbabit juga menyasarkan media yang dianggap kritikal terhadap rampasan kuasa dan tindakan keras seterusnya, membatalkan lesen dan menangkap serta memenjarakan berpuluh-puluh wartawan.

Dianggarkan seramai 43 wartawan dipenjarakan tahun lalu dan pada tahun lalu, penjara Myanmar adalah penjara kedua terburuk bagi wartawan di dunia selepas China, menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan.

Usaha diplomatik untuk menamatkan konflik yang diketuai oleh PBB dan blok serantau Persatuan Bangsa-Bangsa Asia Tenggara tidak mendapat membuahkan hasil positif. – AFP

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker