Yang di-Pertuan Agong satu tanggungjawab besar – Sultan Ibrahim

Oleh – Syeikh Baran


Yang di-Pertuan Agong satu tanggungjawab besar - Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim meluangkan masa dengan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) selepas Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 semalam.

Sultan Ibrahim menegaskan pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bukan kenaikan pangkat, sebaliknya tanggungjawab tambahan.

Menerusi video dimuat naik di laman Instagram Officialsultanibrahim, Sultan Ibrahim menegaskan baginda mewakili Raja-Raja lain dan menjadi Yang di-Pertuan Agong satu panggilan tugas.

“Hak saya untuk berkhidmat. Saya takut, takut juga. Takut tak boleh membawa tugas ini tapi saya akan cuba yang terbaik.



“Pertama sekali, rakyat perlu dilindungi. Lidi sepatah mudah dipatah, secekak tak mudah dipatah. Ingat tu,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut memberi jaminan baginda akan selalu pulang ke Johor.

“Saya harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini.

“Saya juga akan tinggalkan satu mata dan satu telinga saya di Johor untuk memantau apa yang berlaku di sini. Jangan terkejut, saya tiba-tiba menjelma di mana-mana daerah,” titah baginda.



Sultan Ibrahim melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara semalam.

Seri Paduka Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lalu, selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019.

Pada istiadat yang sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lalu bagi tempoh lima tahun.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button