Beto Kusyairy disifatkan netizen sebagai suami edisi terhad.

 

Oleh Pena Merah

Beto Kusyairy disifatkan netizen sebagai suami edisi terhad.

Berkongsi ucapan istimewa buat isteri tercinta, Tisha Sahar bersempena ulang tahun perkahwinan ke-16, pelakon Beto Kusyairy disifatkan netizen sebagai suami edisi terhad.

Ketulusan ungkapan indah yang menyerlah isi hati serta layanan terhadap insan tercinta turut menunjukkan sisi aktor tersebut selaku lelaki budiman.

“Selama 16 tahun bersama cuma tahun ini kami tidak meraikan dek genap setahun kembalinya papa (bapa isteri) ke tanah abadi (iaitu) sehari sebelum ulang tahun tarikh pernikahan kami.



“Selamat ulang tahun perkahwinan sayang. Saya tahu betapa sukar untuk awak apabila kehilangan kembar awak 19 tahun lalu dan tahun ini merupakan tahun pertama awak kehilangan cinta pertama.

“Satu perkara yang pasti, saya akan sentiasa di sisi awak dengan kasih sayang, menjaga awak dan semestinya sebagai penyeri hidup awak,” tulis Beto menerusi satu kapsyen pada hantaran video dalam Instagram.

Dalam perkongsian itu, pemilik nama penuh Nur Kusyairy Zakuan Osman itu membawa isterinya bersiar-siar berdekatan kawasan pantai dengan menunggang motosikal di sekitar Pulau Tuba, Langkawi.

Dalam hantaran sama, aktor berusia 44 tahun itu turut memasang impian untuk memiliki sebuah kediaman berhampiran kawasan laut dan merancang mahu menetap bersama isteri selepas bersara nanti.



“Video ni diambil berberapa hari lepas sewaktu ‘jetty tour’ di Pulau Tuba. Sambil tinjau tanah tepi laut untuk kami ‘settle down’ dan bersara.

“Ada orang lokal yang nak jual murah-murah tak? Yang penting menghadap laut dan pulau kecil, tenang dan tak sibuk. Tak salah berangan kan?” ujarnya.

Tinjauan Kosmo! Online menerusi ruangan komen mendapati rata-rata netizen menyifatkan Tisha wanita bertuah kerana memiliki suami setia dan penyayang, sekali gus mendoakan perkahwinan mereka berkekalan selamanya.

“Bertuah Tisha, inilah lelaki idaman perempuan, lelaki edisi terhad, setia walaupun belum dikurniakan anak tapi masih ada di sisi seorang isteri, gembira tengok mereka berdua,” komen netizen itu.

“Beto nampak sangat penyayang, beruntung isteri, mereka bahagia cara sendiri meskipun belum memiliki zuriat,” demikian komen seorang lagi netizen.

Beto dan isteri mendirikan rumah tangga pada 1 Februari 2008, namun masih belum dikurniakan rezeki untuk memiliki cahaya mata.

-Kosmo Online-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker