Penduduk bimbang lebih 100 PATI yang lolos masih bebas

 

Oleh Pena Merah

Penduduk bimbang lebih 100 PATI yang lolos masih bebas
Empat tahanan warga asing lolos Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, berjaya ditahan di perkampungan Orang Asli Kampung Sanding, petang semalam. – NSTP

Penduduk di petempatan sekitar Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, di sini, bimbang kerana lebih 100 pendatang asing yang lolos dari pusat tahanan itu malam kelmarin, masih bebas.

Penduduk Kampung Tersusun 2 Tambahan, Helmi Nomawi, 43, berkata kerisauan mereka bertambah kerana kawasan sekitar depoh terbabit memang ada ramai warga asing, termasuk yang bekerja secara sah di negara ini.



Keadaan itu, katanya, membuatkan penduduk mungkin sukar untuk melaporkan kepada pihak berkuasa kerana sukar untuk membezakan warga asing yang berada di negara ini secara sah dengan pendatang yang lari dari pusat tahanan itu.

Helmi Nomawi. - NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Helmi Nomawi. – NSTP

“Susah nak bezakan sama ada kumpulan warga asing yang dilihat sekitar kawasan ini adalah yang meloloskan diri atau mereka yang datang ke Malaysia secara sah.

“Kawasan ini memang ramai warga asing bekerja, tambahan kini kawasan sekitar sedang dibangunkan dengan projek perumahan, pusat beli-belah dan terminal bas. Banyak juga kebun dan ladang yang rata-rata pekerjanya adalah warga asing.

“Malah masjid di sini juga dikunjungi ramai jemaah warga asing. Jadi kalau nak kenal pasti antara mereka yang lari depoh tahanan itu dengan warga asing yang masuk bekerja secara sah di Malaysia, mungkin sukar,” katanya.



Katanya lagi, insiden kelmarin memang menggusarkan kerana ia kejadian pertama sejak beliau mendiami kawasan itu sejak lima tahun lalu.

“Kalau tak ramai yang lari, tak mengapa sangat, tapi sampai lebih 100 orang, memang kami patut risau terutama waktu malam,” katanya.

Pesara di kampung sama, Musa Manap, 66, berkata mereka bimbang kemungkinan tahanan yang lolos melakukan perkara tidak sepatutnya terhadap penduduk.

 



Musa Manap. - NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Musa Manap. – NSTP

“Mereka lari sehelai sepinggang, mungkin buat sesuatu yang tidak diingini untuk dapatkan keperluan asas. Waktu siang, mungkin mereka tak keluar dari persembunyian, tapi bila lapar atau waktu malam, mungkin akan keluar.

“Mungkin untuk mencari makanan dan keperluan lain termasuk di rumah penduduk sekitar,” katanya.

Tok Batin Kampung Sanding, Aziz Bah Meruang, 45, penahanan pendatang yang lolos, termasuk empat yang berjaya ditangkap di kampungnya, kira-kira jam 3.30 petang semalam masih belum dapat melegakan penduduk.

“Ada lebih 100 lagi saki-baki pendatang asing yang lolos itu masih bebas dan dipercayai berada di sekitar perkampungan. Memang risau kerana ramai masih belum dijumpai.



“Kejadian sebegini belum pernah berlaku di kampung ini,” katanya yang juga risaukan keselamatan remaja serta kanak-kanak yang ramai di perkampungan Orang Asli itu.

-Berita Harian-


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

One Comment

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading