KPDN serbu stor seleweng diesel dalam kandang lembu

Oleh – Syeikh Baran


KPDN serbu stor seleweng diesel dalam kandang lembu
Penguat kuasa KPDN memeriksa kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang disita kerana disyaki terlibat kegiatan menyeleweng diesel di sebuah kandang lembu di Padang Besar, semalam.

Taktik licik seorang lelaki menjadikan sebuah kandang lembu sebagai stor simpanan diesel haram sebelum menjual bahan api itu kepada warga asing tumpas dalam serbuan di sini semalam.

Stor tersebut diserbu penguat kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri dalam Ops Tiris kira-kira pukul 8 pagi.



Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup negeri, Norazah Jaapar berkata, serbuan dilakukan hasil risikan penguat kuasa sejak beberapa minggu lalu.

“Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an berada di stor tersebut dan mengaku sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas stor berkenaan.

“Kita juga menemui dua kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang dinaiki dua lelaki, juga dari negara jiran,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu mempunyai tangki tambahan dan dua lelaki Thailand terbabit dipercayai pergi ke stor itu untuk membeli diesel.



“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan stor menemui kira-kira 330 liter diesel di dalam empat unit tong drum.

“Lelaki tempatan terbabit seterusnya ditahan bagi membantu siasatan setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen yang membenarkannya berurusan dengan barang kawalan iaitu diesel daripada KPDN,” ujarnya.

Menurutnya, dua warga asing terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Dua kenderaan beserta tangki tambahan di dalam kenderaan serta kira-kira 30 liter diesel dalam tangki tambahan bagi kenderaan pertama dan kira-kira 10 liter dalam tangki tambahan bagi kenderaan kedua turut disita untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan di lokasi serbuan
dianggarkan RM82,195.50,” jelasnya.



Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes itu akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button