Bas Rapid Penang terbakar
Oleh Pena Merah
Tindakan pantas pemandu mengawal kebakaran berjaya menyelamatkan 20 penumpang bas Rapid Penang dalam kejadian di Jalan Burma, di sini, hari ini.
Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menerusi kenyataannya berkata kejadian pada jam 5.05 petang membabitkan bas laluan 101 menghala ke Jeti.
“Kapten bas yang sudah dilatih mengendali situasi kecemasan luar jangka, bertindak pantas dengan memberhentikan bas bagi menurunkan penumpang.
“Kapten terbabit juga cuba mengawal api daripada merebak menggunakan peralatan pemadam api yang terdapat di dalam bas,” kata kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan Rapid Bus itu juga, pemandu dan semua penumpang tidak mengalami kecederaan selain tiada kerosakan pada harta benda awam.
“Rapid Bus memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat kejadian ini dan akan memberi kerjasama kepada bomba bagi menjalankan siasatan
sepenuhnya ke atas punca kebakaran.
“Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.10 petang.
Katanya, sebaik tiba di lokasi besama 10 anggota, didapati kebakaran membabitkan bahagian belakang bas termasuk enjin.
“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tujuh minit memadamkan kebakaran yang membabitkan kemusnahan sehingga 50 peratus.
“Difahamkan ketika kejadian, pemandu bas berkenaan sedang menurunkan penumpang sebelum menyedari terdapat kepulan asap di bahagian belakang kenderaan,” katanya lagi.
Operasi berakhir jam 6.06 petang.
-Berita Harian-