Buang 900kg kertas iklan dalam laut
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki berusia 74 tahun ditangkap kerana disyaki membuang 900 kilogram (kg) kertas iklan ke dalam laut di Selat Kanmon, barat Jepun, lapor portal berita The Mainichi kelmarin.
Pejabat Pengawal Pantai Moji menahan Shinichiro Kamiyama yang tinggal di Kokurakita, Kitakyushu kerana melanggar Akta Pengurusan Sisa dan Pembersihan Awam.
Dia dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya Daerah Fukuoka cawangan Kokura, Selasa lalu.
Kamiyama dituduh membuang risalah yang dicetak dengan maklumat mengenai penjualan hartanah ke dalam laut secara haram dari sebuah dermaga dekat Stesen JR Kokura antara Februari 2021 hingga Oktober 2023.
Menurut pejabat pengawal pantai, pihak ketiga memberikan maklumat mengenai kejadian itu pada April 2023.
Pemeriksaan di dasar laut mendapati sebanyak 177 berkas kertas iklan telah dibuang ke dalam laut. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE