Gaji bukan faktor anggota polis terbabit rasuah – KPN

 

Oleh Pena Merah

Gaji bukan faktor anggota polis terbabit rasuah - KPN
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (dua, kiri) beramah mesra bersama peniaga pada Program Walkabout Pencegahan Jenayah sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Pandamaran Pelabuhan Klang hari ini.

Gaji bukan faktor utama anggota polis terbabit rasuah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, sebaliknya ia adalah antara punca dan bukan sebab utama.

“Memang ada disebut berkaitan kadar gaji yang rendah, itu sebenarnya salah satu faktor, kalau banding dengan Singapura memang gaji mereka tinggi, polis mereka tiada rasuah, itu mengikut negara mereka yang kecil.



“Sebaliknya di Malaysia, kita mempunyai 137,000 (anggota) dan akan bertambah dan akan menjadi lebih 140,000 kalau dicampur, itu salah satu darinya,” katanya pada sidang media selepas program Walkabout di Pasar Pagi Pandamaran, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayub Khan Mydin Pitchay meluangkan kira-kira sejam beramah mesra bersama masyarakat setempat.

Razarudin berkata, gaji anggota turut berbeza dari segi taraf kehidupan mengikut kawasan mereka ditempatkan.

“Kalau kata gaji konstabel rendah, dia masuk dengan gaji RM1,441 ditambah dengan elaun dan lain-lain dapatlah RM2,500.



“Duduk di Kuala Lumpur memang miskin bandar, tapi kalau dia duduk di kawasan seperti Belaga, Beluran, Besut, Kuala Nerang serta kawasan-kawasan luar bandar gaji itu banyak, dan dapat elaun lagi iaitu elaun kesusahan, jadi soal gaji itu salah satu faktor,” katanya.

Menurutnya, seandainya dikatakan soal gaji jadi faktor rasuah, ia boleh dilihat dari segi peratusan jumlah anggota pangkat rendah yang terbabit rasuah.

“Kalau kata gaji konstabel ini sedikit dan dia terbabit dengan rasuah, saya boleh bagi peratusan berapa yang terbabit dengan rasuah ini, tapi kita biasa dengar berita ada pengarah syarikat atau mana-mana agensi ada ditangkap berkaitan rasuah, dan adakah mereka ini gaji sedikit.

“Itu saya katakan, sekiranya kita katakan soal gaji jadi faktor seharusnya kita perlu beri pendedahan maklumat kepada pegawai dan anggota agar menolak rasuah,” katanya.



Katanya, keyakinan masyarakat kepada pihak polis harus sentiasa diperhebatkan dengan amalan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Kita tak mahu gusarkan masyarakat dengan isu sebegini, seolah masyarakat beranggapan bahawa polis ini kalau tiada pun tidak mengapa, mereka ambil khidmat pengawal keselamatan untuk gantikan polis.

“Soal gaji itu saya setuju, bagaimanapun masih ada faktor lain yang perlu kita lihat, apa yang penting adalah dalam diri setiap anggota dan pegawai itu yang perlu ditanam sifat menolak rasuah,” katanya.

-Berita Harian-




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading