Haaland gembira dan sedia mula permainan
Oleh – Syeikh Baran
Pep Guardiola menafikan dakwaan yang Erling Haaland tidak gembira di Manchester City dan berkata penyerang Norway itu sedia memulakan permainan buat kali pertama selepas dua bulan.
Media Sepanyol membuat spekulasi mengatakan Haaland berminat menyertai Real Madrid selepas tidak dinobatkan pemain terbaik walaupun memenangi Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA musim lalu.
Menurut Guardiola, pemain 23 tahun itu boleh kembali tersenyum selepas pulih daripada kecederaan kaki.
“Anda perlu bertanya kepada media dari Madrid jika dia tidak gembira. Kami tidak rasa dia tidak gembira.
“Dia hanya rasa begitu kerana tidak dapat bermain – dua bulan berehat akibat kecederaan – tetapi mungkina media dari Sepanyol, terutama Madrid, mempunyai lebih maklumat berbanding kami,” kata Guardiola.
Haaland kembali beraksi sebagai pemain gantian di babak kedua ketika kemenangan 3-1 City ke atas Burnley pada Rabu.
Juara Inggeris itu akan beraksi semula pada Isnin bertemu Brentford dan Guardiola menjangkakan Haaland bersedia membarisi kesebelasan utama.
“Dia bersedia untuk memulakan permainan. Semua orang bersedia sekarang kerana tidak banyak kecederaan. Jika mereka berada di bangku simpanan, bermakna mereka cukup bersedia,” katanya.
Haaland masih belum menemui sasaran sejak kembali beraksi tetapi kekal sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 14 gol dalam 16 penampilan musim ini. – AFP
Sumber – BERITA HARIAN