Indeks jenayah di Gombak lagi tinggi dari Klang – KPN

 

Oleh Pena Merah

Indeks jenayah di Gombak lagi tinggi dari Klang - KPN
RAZARUDIN pada sidang media selepas Program Walkabout Pencegahan Jenayah Bersama Ketua Polis Negara di Pasar Pagi Pandamaran, Pelabuhan Klang.

Persepsi dan stigma Klang sebagai bandar Colombia tidak boleh diteruskan kerana ia mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, stigma dan persepsi itu tercipta selepas laporan beberapa portal berhubung kejadian samun terhadap ejen hartanah baru-baru ini.



“Apa yang Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah) cakap adalah berdasarkan ‘quote’ dari beberapa portal yang melaporkan kejadian itu.

“Kita tidak akan benarkan, itu sebabnya kita (PDRM) datang ke daerah ini sejak 15 Januari hingga 1 Februari lalu melakukan pencegahan, tangkapan, operasi dari sudut pemerdagangan orang, dadah dan jenayah.

“Ini semua bagi menurunkan kadar jenayah dan mustahaknya adalah menghilangkan persepsi dan anggapan ramai Klang bukan bandar Colombia tetapi bandar Klang adalah bandar Diraja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program Walkabout di Pasar Pagi Pandamaran di sini, hari ini.



Terdahulu, beliau bersama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayub Khan Mydin Pitchay meluangkan kira-kira sejam beramah mesra bersama masyarakat setempat.

Razarudin berkata, jika dibandingkan indeks jenayah Selangor, daerah Gombak mencatatkan indeks jenayah tertinggi.

“Kalau kita nak buat perbandingan antara pentadbiran Klang Selatan dan Klang Utara dengan daerah lain, daerah Gombak lagi tinggi, Petaling Jaya juga tinggi serta Kajang juga tinggi,” katanya.

-Harian Metro-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button