Ketagihan video lucah buat hati jadi gelap, runtuhkan akhlak

Oleh – Syeikh Baran


Ketagihan video lucah buat hati jadi gelap, runtuhkan akhlak
FOTO HIASAN

Di akhir zaman ini, masyarakat didedahkan dengan pelbagai bentuk kandungan dalam media sosial termasuklah video berunsurkan lucah. Pendedahan video lucah kepada masyarakat ini mencetuskan kebimbangan terutama dalam kalangan umat Islam kerana ia boleh meruntuhkan akhlak umat khasnya generasi muda.

Baru-baru ini viral segelintir individu dilihat tidak menghiraukan soal dosa dan pahala sehingga tergamak beraksi lucah di media sosial demi memuaskan nafsu semata-mata. Perbuatan ini tidak wajar bahkan satu perkara sangat keji di sisi Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan keji dan satu jalan jahat (membawa kerosakan)”.



Berdasarkan ayat al-Quran ini, maksud ‘jangan mendekati’ dalam al-Quran menunjukkan semua sarana membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan patut dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa kecil.

Selain itu, Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan Allah SWT melarang hamba-Nya daripada melakukan zina dan perkara membawa dekat kepada zina seperti sebab dan seruannya.

Maka, amat jelas perbuatan lucah menjalinkan hubungan seks sama ada melalui panggilan video dan audio, rakaman suara dan video antara dua individu adalah diharamkan dalam Islam dan wajib ditinggalkan.

Sebagaimana ditetapkan, hukum melihat aurat orang lain adalah haram apatah lagi menonton video lucah atau porno yang sudah terang lagi bersuluh adalah haram hukumnya kerana ia melanggar apa yang termaktub dalam ajaran Islam.



Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur, ayat 30 bermaksud, “Katakanlah (Muhammad) kepada orang lelaki beriman; Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa mereka lakukan”.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Pandangan mata itu adalah panah daripada panah syaitan. Sesiapa menahan pandangannya kerana takut kepada Allah, nescaya Allah menggantinya dengan kebahagiaan akan selalu dia rasakan dalam hatinya.” (HR Ahmad, An-Nasa’i dan Al-Hakim)

Melihat kepada ayat al-Quran dan hadis di atas, ia mengandungi maksud kecaman dan cercaan terhadap orang gemar memerhatikan perkara haram. Apabila penglihatan secara tidak sengaja jatuh pada sesuatu diharamkan, seseorang harus segera beralih dan menundukkan pandangan.

Ini bagi mengelakkan diri terjerumus serta terdorong melakukan perbuatan lucah atau aktiviti pornografi.



Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya Allah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakan”. (HR Bukhari dan Muslim).

Perbuatan membuat atau menonton video lucah adalah satu perkara sangat keji di sisi Allah SWT kerana boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan seseorang serta menyebabkan seseorang itu mengalami ketagihan seks.

Kesan pengaruh maksiat

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Al-Taubah Ilallah menukilkan tulisan Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa al-Syafi berkenaan kesan dan pengaruh maksiat.



Antaranya ialah segala urusan menjadi sukar dan sulit, hati menjadi ‘gelap’, melemahkan rangsangan ketaatan, melemahkan akal fikiran serta berasakan kehidupan seolah-olah menjadi sempit.

Berdasarkan kesan dinyatakan di atas, maka hal ini sangat bertepatan seperti dijelaskan Allah SWT dalam Surah Taha ayat ke-124 bermaksud: “Sesiapa berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

Susulan daripada isu sedang hangat tersebar sekarang, sebagai ibu bapa serta penjaga seharusnya berusaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi daripada perspektif agama bermula keluarga sendiri. Nilai moral sangat perlu ditekankan kepada setiap ahli keluarga.

Keluarga adalah unit terpenting dalam masyarakat memiliki banyak fungsi dan di antara fungsinya sangat strategik adalah pendidikan dan agama. Pendidikan agama harus dimulai daripada keluarga. Pendidikan agama di luar keluarga hanya bersifat pelengkap kepada nilai ditanamkan dalam sesebuah keluarga.



Perlu ditegaskan di sini, pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada anak sejak awal adalah pendidikan agama mengajarkan nilai kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia bertanggungjawab dan berguna. Ia selari dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah paling berguna bagi sesama mereka”.

Kesimpulannya, budaya video lucah ini wajib dibendung dengan segera demi menjamin masa depan baik terutama generasi muda dan demi mengelakkan berlakunya keruntuhan akhlak umat Islam. Sesungguhnya setiap daripada kita pasti tidak terlepas sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan walaupun kecil.

Namun indahnya Islam diwahyukan Allah ini, Dia amat menyukai dan mencintai hamba-Nya bertaubat. Sabda Rasulullah SAW, “Kesemua anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang melakukan kesilapan ialah mereka bertaubat”.

Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia berakhlak mulia serta diberkati Allah SWT dalam kehidupannya. Salah satu penunjuk utama daripada akhlak mulia adalah menjauhi perbuatan, perkataan dan perilaku keji serta kotor termasuklah bahan pornografi.



Bahkan, antara ciri-ciri orang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti dinyatakan dalam Surah al-Mukmin ayat 5 bermaksud: “Dan mereka menjaga kehormatannya”. Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin lebih penting daripada pengurusan hati.

Penulis adalah Pengarah Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button