Keunikan Vanessa sukar diterima?

Oleh – Syeikh Baran


Keunikan Vanessa sukar diterima?
Vanessa sedar mungkin perbezaannya dengan orang lain menyebabkannya sukar diterima. – Foto IG Vanessa

Entah di mana salah dan silap, penyanyi berimej unik, Vanessa Reynauld mengambil masa agak lama untuk menempatkan dirinya dalam industri hiburan.

Sedangkan, jika mengukur dari sudut bakat, gadis yang mula melangkah dalam dunia nyanyian menerusi program Ceria Popstar musim ketiga pada usia 15 tahun memiliki vokal mengagumkan.



Barangkali, nasib tidak begitu menyebelahinya, namun kesabaran Vanessa, 22, berbaloi apabila dinobatkan Artis Baru Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23, baru-baru ini.

Gadis kacukan Cina-India itu berkata, dia sedar mungkin ‘perbezaannya’ dengan orang lain menyebabkannya sukar diterima.

Namun, kata Vanessa, dia enggan menyalahkan takdir, sebaliknya bersyukur keunikan dikurniakan.

“Saya menangis apabila nama diumumkan sebagai pemenang. Ini kerana apa yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan. Trofi ini cukup bermakna kerana akhirnya ada juga pihak menilai bakat saya.



“Bagi saya, apabila mempunyai minat mendalam terhadap sesuatu bidang, semuanya akan menjadi lebih mudah. Disebabkan minat, saya juga lebih bersemangat walau terpaksa melalui pelbagai cabaran.

“Saya sedar mungkin perbezaan saya menyebabkan orang kurang berminat. Jadi, mungkin faktor itu juga menjadi punca perjalanan kerjaya saya menjadi berliku.

“Tetapi, ia bukan sesuatu yang saya boleh ubah sesuka hati, kerana ini adalah kurniaan Tuhan. Jadi, saya harus terima keunikan dan kelainan ini,” katanya kepada BH Online.

Berkebolehan bertutur dalam bahasa Tamil dan Mandarin, Vanessa yang juga pernah menyertai pertandingan The Masked Singer mengakui, pernah hampir berputus asa untuk terus mengejar cita-cita sebagai anak seni berikutan sukar diterima ramai.



Keunikan Vanessa sukar diterima?
Kesabaran Vanessa berbaloi apabila dinobatkan Artis Baru Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23, baru-baru ini.

Namun, kata Vanessa, dia menyesal pernah mempunyai niat seperti itu pada usia 19 tahun.

“Ketika itu, saya merasakan bidang nyanyian bukan rezeki untuk saya. Bagaimanapun, apabila dikenang semula, terasa menyesal pun ada kerana pernah terfikir ke arah itu.

“Saya mengakui hakikat seseorang artis diterima bukan disebabkan bakat semata-mata, tetapi perlu disertai sokongan peminat. Walau berbakat sekali pun, tetapi jika tiada sokongan, boleh membuatkan seseorang artis berputus asa.

“Namun, saya bersyukur keluarga sering memberikan sokongan dan semangat untuk saya meneruskan minat dalam bidang seni,” kata Vanessa.



Vanessa berharap, kemenangannya di AIM 23 akan membantu membina dan memperkukuhkan kerjaya seninya.

Katanya, dia juga berhasrat mencari lagu membolehkan namanya diterima ramai.

“Walaupun nama saya mungkin tidak popular, saya bersyukur kerana ‘job’ tidak pernah putus. Lebih lagi, selepas menyertai The Masked Singer.

“Lagipun, kewujudan media sosial membantu saya meneruskan kelangsungan hidup. Selain nyanyian, saya banyak mendapat peluang menjayakan pelbagai kempen dalam media sosial.



“Tetapi, bagi memastikan nama saya terus diterima, saya berhasrat mencari lagu yang kuat supaya nama lebih dikenali,” katanya yang pernah merakamkan lagu berjudul Rindu Separuh Nyawa dan Putus.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button