Mahu hidup tenang, enggan terpalit kontroversi

Oleh – Syeikh Baran


Mahu hidup tenang, enggan terpalit kontroversi

Selepas dihimpit pelbagai kontroversi membabitkan rumah tangga bersama suami, Aliff Aziz, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah menyifatkan pembukaan tahun ini seperti permulaan baru untuk menjalani kehidupan lebih tenang.



Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, meluahkan rasa syukur apabila masa yang ada sekarang dapat diluangkan sepenuhnya bersama suami dan anak-anak.

“Alhamdulillah, saya dapat rasakan situasi berbeza untuk permulaan tahun baharu ini. Saya dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga.

“Saya bersyukur Aliff menunjukkan perubahan yang sangat besar untuk menjadikan kehidupan rumah tangga kami ke arah lebih baik,” katanya kepada BH Online.

Bella berkata, azam tahun ini tidak berubah seperti dahulu kerana apa yang dimahukan adalah bebas daripada sebarang kontroversi biarpun menyedari ada kala perkara buruk tetap terjadi di luar kehendaknya.

“Azam tahun ini sama sahaja seperti lalu. Saya mahu mengelak terpalit lagi daripada sebarang kontroversi membabitkan pelbagai perkara.



“Mungkin ada netizen cakap saya sukakan kontroversi, tapi sebenarnya tidak langsung. Malah, saya lebih risau kalau sentiasa berdepan dengan kontroversi.

“Kadang-kadang apa yang terjadi dalam kehidupan adalah di luar jangkaan. Ada juga yang cakap saya tak habis-habis bagi kenyataan, tapi bukan itu tujuan saya sebenarnya.

“Ada juga yang ambil semula kenyataan lama saya dan jadikan bahan berita, disebabkan saya perlu jelaskan keadaan sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Bella memohon agar portal hiburan menghentikan penyebaran berita lama berkaitan kemelut rumah tangganya dan suami yang disunting semula menjadi kenyataan baharu.



“Kadang-kadang saya sendiri terkejut bila ada artikel sampai ibu mentua tanya mengenainya. Disebabkan perkara itu saya jadi kurang selesa.

“Jadi, saya mahu jelaskan mengenai perkara ini. Untuk 2024, saya tak mahu lagi terpalit dengan kontroversi. Saya mahu fokus kepada keluarga dan kerjaya,” katanya.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun, pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh edah.

Hasil perkahwinan, Bella dan Aliff dikurniakan sepasang cahaya mata, Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button