Sultan Ibrahim berpendirian tegas, berani

Oleh – Syeikh Baran


Sultan Ibrahim berpendirian tegas, berani
Sultan Ibrahim beramah mesra dengan tetamu ketika meninggalkan Balairung Seri Istana Negara selepas Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Selasa lalu. – BERNAMA

Kepimpinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang dikenali sebagai Raja berpendirian tegas dan berani, mampu menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

Seri Paduka sebagai penaung utama negara, diyakini mampu menjadi tonggak kestabilan perpaduan rakyat, sekali gus memadam api perkauman yang boleh menggugat keharmonian antara kaum.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata baginda yang berpendirian tegas juga akan menjadi benteng penghalang usaha pihak tertentu, terutama yang ingin mencapai matlamat politik dengan memainkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Ketegasan itu boleh dilihat menerusi titah-titah Sultan Ibrahim sebelum ini yang antaranya memberi amaran kepada pihak yang mencuba sebarang usaha untuk memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor.

“Seperti di Johor, pernah ada isu perkauman dan salah faham, tetapi ketegasan Sultan Ibrahim yang berperanan sebagai penaung negeri, menjadi pemadam api perkauman dan menitahkan supaya ia diselesaikan segera, ” katanya.

Beliau percaya peranan itu akan terus dimainkan oleh Seri Paduka dalam memastikan isu seperti 3R dapat dihentikan sebelum ia menjadi marak.



Katanya, baginda yang sering mencemar duli berangkat bagi meraikan pelbagai sambutan perayaan sebagai Sultan Johor, menjadi ikon perpaduan kepada rakyat di negeri ini.

“Contohnya, Tuanku hadir Festival Chingay yang juga antara sambutan terbesar bagi kaum Tionghua, begitu juga Deepavali, Tuanku berangkat dan memberi contoh terbaik,” katanya.

Menurutnya, titah-titah Sultan Ibrahim mengenai perpaduan juga telah mencetus kepada wujudnya Duta Perpaduan Johor dan Jawatankuasa Harmoni Negeri Johor.

Duta Perpaduan Johor telah melahirkan 300 generasi muda dari setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan persatuan belia di negeri ini.



Mereka berperanan menjadi jurucakap kerajaan negeri dalam menyampaikan mesej-mesej perpaduan kepada orang ramai.

Jawatankuasa Harmoni pula terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan pemimpin daripada setiap agama termasuk Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh.

Ia berperanan dalam berkongsi pandangan serta menangkis segala isu keagamaan dan sebagainya.

Justeru, Tian Soon berharap Malaysia akan terus harmoni dan rakyat bersatu padu dalam membangunkan negara di bawah naungan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.



Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari.

Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari lalu. – BERNAMA

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button