Imigresen gempur ‘sarang’ warga asing

 

Oleh Pena Merah

Imigresen gempur 'sarang' warga asing
Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh memeriksa warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Putrajaya, awal pagi tadi.

Jabatan Imigresen Malaysia menggempur sebuah kondominium di sini, yang dijadikan penginapan sewa atau asrama kepada pekerja asing menerusi Operasi Penguatkuasaan, tengah malam tadi.

Dalam serbuan bermula jam 12 tengah malam, sebanyak 47 unit di empat blok kediaman yang disyaki dihuni warga asing diperiksa oleh pasukan operasi.



Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pemeriksaan bersasar itu hasil risikan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.

“Hasil serbuan dijalankan, seramai 127 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 25 orang termasuk dua wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

- Foto FB Jabatan Imigresen

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 13 warga India; enam Indonesia; tiga Pakistan; dua Myanmar dan seorang Filipina,” katanya selepas mengetuai operasi berkenaan.



- Foto FB Jabatan Imigresen

Ruslin berkata, pendatang asing terbabit dikesan melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan diri sah, menyalahguna pas lawatan sosial dan permit kerja serta tinggal lebih masa.

Katanya, terdapat juga warga asing yang menyalahgunakan permit kerja iaitu masuk ke negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan, namun bekerja di restoran.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Kita akan panggil majikan untuk semakan dokumentasi dan siasatan. Sekiranya gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan permit sah tindakan lanjut akan diambil.



“Berdasarkan soal siasat awal, mereka ini menghuni kondominium yang disewa oleh majikan dengan kadar RM2,500 sebulan dan setiap unit didiami antara lima hingga 10 orang,” katanya

- Foto FB Jabatan Imigresen

Tambah beliau, tindakan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah menjadi kesalahan dan majikan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.

Untuk rekod bagi Januari tahun ini sehingga 2 Februari lalu, sebanyak 1,437 operasi dijalankan dengan 17,348 warga asing diperiksa.



Daripada jumlah itu, seramai 4,891 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dan 3,622 sudah diusir keluar ke negara asal.

-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button