Larangan menjual vape di Johor kekal

Oleh – Syeikh Baran


Larangan menjual vape di Johor kekal
TIAN SOON (kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Fasiliti Pandu Lalu KitaRecycle dan Sumbangan Bakul Limau 2024 di Dewan Orang Ramai Yong Peng, Batu Pahat hari ini.

Larangan menjual rokok elektronik yang dilaksanakan sebelum ini dikekalkan dan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menjualnya secara terbuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata pendirian berkenaan telah dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri lapan tahun lalu, bermula 1 Jan 2016.

Katanya, yang juga Adun Yong Peng, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti mana-mana pihak termasuk kedai serta restoran yang masih berdegil menjual vape di negeri ini.

“Kita akan mengambil tindakan bersama PBT (lesen perniagaan) sekiranya didapati premis perniagaan tersebut menjual vape secara terbuka kepada pelanggan.



“Kerajaan negeri juga akan memikirkan cara tindakan yang akan dikenakan terhadap aktiviti penjualan vape ini secara atas talian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Fasiliti Pandu Lalu KitaRecycle dan Sumbangan Bakul Limau 2024 di Dewan Orang Ramai Yong Peng di sini hari ini.

Ujarnya, pihaknya mengalu-alukan kepada orang ramai untuk membuat aduan di pejabat kesihatan daerah atau negeri sekiranya terlihat aktiviti penjualan vape, selain menyatakan bagi tahun ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan.

Sementara itu, berkenaan dengan Fasiliti Pandu Lalu KitaRecycle di Yong Peng, ianya merupakan langkah proaktif SWM Environment untuk memudahkan komuniti setempat dalam usaha bagi menyumbang kepada kelestarian alam dan menggalakkan budaya pengurusan sisa kitar semula.

“Fasiliti ini beroperasi secara pandu lalu dan menggunakan aplikasi KitaRecycle dan sedia menerima 25 jenis barangan kitar semula termasuk botol kaca, perkakas elektrik dan peranti elektronik.



“Difahamkan bagi pengurusan sisa pepejal di negeri ini perbelanjaannya mencapai RM215,000 sebulan dan RM2.6 juta setahun untuk satu-satu PBT, di mana kita akan dapat menjimatkannya sekiranya aktiviti kitar semula dijalankan,” katanya

Pada majlis berkenaan, SWM Environment dan MDYP melalui Yayasan Makmur MDYP turut menyantuni 80 keluarga golongan kurang berkemampuan dengan menyampaikan sumbangan barangan dapur bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker