Mahkamah Persekutuan tolak permohonan wanita keluar Islam

Oleh – Syeikh Baran


Mahkamah Persekutuan tolak permohonan wanita keluar Islam
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1 pada Isnin menolak permohonan seorang wanita berusia 34 tahun untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya keluar daripada agama Islam.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1 pada Isnin menolak permohonan seorang wanita berusia 34 tahun untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya keluar daripada agama Islam.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim dengan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang menolak permohonan itu manakala Mary Lim Thiam Suan membenarkannya.

“Permohonan ini tidak melepasi syarat yang diperlukan untuk memperoleh kebenaran di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman. Justeru, permohonan ini ditolak tanpa kos,” kata Hasnah.



Terdahulu, peguam Fahri Azzat yang mewakili wanita itu berhujah bahawa anak guamnya ingin meninggalkan agama Islam untuk berkahwin.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili kerajaan dan tiga lagi berkata, orang Islam perlu ke Mahkamah Syariah untuk keluar daripada agama Islam kerana mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa sedemikian.

Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan wanita itu atas alasan hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan isu pembatalan agama di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Wanita itu, yang dilahirkan dalam keluarga bapa seorang mualaf dan ibu beragama Islam, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Jun 2023 yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah.



Dalam permohonannya yang difailkan pada 4 Mac 2022, wanita itu menamakan Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Wanita itu memohon sekurang-kurangnya 12 perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa beliau bukan lagi seorang Islam serta berhak menganut dan mengamalkan agamanya iaitu Konfusianisme dan Buddhisme.

Beliau turut memohon deklarasi Mahkamah Tinggi Sivil bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah yang menolak permohonannya untuk diisytihar sebagai murtad adalah tidak sah, menyalahi undang-undang serta batal.

Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak permohonan wanita itu untuk diisytihar sebagai bukan Islam dan memerintahkan beliau agar melalui sesi ‘istitabah’ atau bertaubat dan mengikuti kelas agama Islam serta kaunseling akidah selanjutnya.

Beliau kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 8 Disember 2021. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker