‘Gelap gelita, ingat dah bawah lori’

Oleh – Syeikh Baran


‘Gelap gelita, ingat dah bawah lori’
Tangkap layar video yang dimuat naik Nurul Mukminah di Instagramnya.

‘Keadaan ketika itu gelap gelita, berdebu, tidak ada bunyi lain selain bunyi desiran macam pasir. Kami ingat, kereta kami dah betul-betul bawah lori’

Itulah cerita salah seorang saksi kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, Simpang Pulai, yang berpunca dari sebuah lori muatan gula hilang kawalan, semalam.

Ketika kejadian, Nurul Mukminah Muhamad Nazri, 36, bersama suami, seorang anaknya berusia dua tahun dan pembantu rumah sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari rumahnya yang terletak di Sunway City, Ipoh.



Ujar ibu kepada tiga orang anak ini, pada pukul 7.23 pagi suaminya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) berada di lorong kanan mendengar bunyi letupan ketika berselisih dengan lori muatan gula itu.

Selang dua saat selepas itu, Nurul Mukminah berkata, suaminya melihat kepala lori gula telah mengiring ke kanan sebelum menghentam kuat treler yang membawa muatan gelung besi di arah bertentangan.

“Ketika itu keadaan memang gelap, kabus asap putih, berdebu dan sunyi. Hanya bunyi desiran macam pasir. Saya mengandaikan kereta kami dah berada di bawah lori gula. Sebab suami cuba nak undurkan kereta pun tak boleh, tersekat.

“Keadaan depan kereta gelap, belakang gelap. Saya cuma nampak dari cermin tepi badan lori kontena berpusing dan bergerak menghampiri kereta kami. Memang ingat akan kena dah.



“Kemudian dengar jeritan ‘Allah, Allah’ sebelum kami berjaya turun dari kereta selamatkan diri. Waktu tu tak tahu lori apa, sebab ada orang kata bahan kimia, jadi kami lari ke tepi jalan kerana takut berlaku letupan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Nurul Mukminah, dia juga bersyukur gelung besi yang dibawa treler yang dirempuh itu hanya tercampak menghampiri kenderaan mereka.

“Sebenarnya di arah bertentangan sana, bila lori gula hentam, gelung besi tu terbang dan tercampak.

“Tapi nasib baik tak kena kereta kami, sebab benda itu pun sangat-sangat berat. Kalau kena, mungkin kami dah ‘tiada’,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Nurul Mukminah berkata dia tidak dapat melupakan keadaan ngeri salah seorang dua pemandu lori yang maut itu.

Katanya, daging mayat yang hancur melekat di kenderaan dinaiki mereka sehingga ada yang bertaburan ke atas jalan raya.

“Bila saya nak pergi ke kereta, saya terpijak sesuatu yang licin dan berlendir. Rupa-rupanya tu anggota badan mangsa yang dah hancur.

“Masa bomba tengah kutip-kutip serpihan badan mangsa pun, bomba ada kutip yang terlekat pada kereta kami.

“Subhanallah, Allah selamatkan kami sekeluarga dengan bagi jarak tak sampai berapa inci melepasi kami. Bersyukur sangat-sangat kami selamat,” luahnya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan adalah berpunca daripada pemandu treler jenis Hino dipandu seorang lelaki warganegara tempatan yang membawa muatan gula telah hilang kawalan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Tambahnya, hal itu menyebabkan kenderaan berat itu bertembung dengan sebuah treler jenis Volvo bermuatan gelung besi.

Kejadian itu berlaku di kilometer 288.1 Lebuh Raya Utara-Selatan itu mengakibatkan kesesakan teruk lebih lima jam kerana jalan terhalang.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker