Hilang gelaran kerana jadi ‘penyondol’

 

Oleh – Syeikh Baran


Hilang gelaran kerana jadi ‘penyondol’
Shiino berpindah ke Jepun dari Ukraine ketika dia berusia lima tahun. – Kazuki Oishi/Sipa USA

Wanita kelahiran Ukraine yang dinobatkan sebagai ratu cantik, Miss Japan dilucutkan gelaran baru-baru ini selepas kisah hubungan sulitnya dengan suami orang terbongkar, lapor portal berita Mothership.

Karolina Shiino, 26, dinobatkan sebagai Miss Japan pada 22 Januari lalu.



Kemenangannya mencetuskan kontroversi kerana ibu dan bapanya berketurunan Ukraine, menyebabkan orang ramai mempersoalkan pemilihan wanita bukan berdarah Jepun sebagai juara pertandingan itu.

Shiino sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas majalah Shukan Bunshun mendakwa bahawa dia menjalinkan hubungan cinta dengan seorang doktor yang telah  berkahwin.

Penganjur pertandingan ratu cantik itu pada mulanya menyangkal dakwaan Shukan Bunshun dan berkata, Shiino tidak bersalah kerana tidak mengetahui kekasihnya sudah berumah tangga, demikian menurut  akhbar The Japan Times.

Bagaimanapun, semalam pihak penganjur mengeluarkan kenyataan baharu bahawa Shiino masih  menjalinkan hubungan dengan kekasihnya meskipun mengetahui lelaki itu telah berkahwin.

Ia turut memberitahu telah menerima permintaan Shiino untuk melepaskan gelaran yang dia menangi.



Profil Shiino juga dipadam daripada laman web pertandingan tersebut.

Shiino dalam pada itu, membuat permohonan maaf di laman Instagram. Dia berkata, kekeliruan dan kebimbangan menjadi punca dirinya tidak dapat bersikap jujur.

“Saya memohon maaf atas masalah yang timbul dan kerana mengkhianati mereka yang menyokong saya,” katanya.

Shiino dan keluarganya berpindah ke Jepun dari Ukraine ketika dia berusia lima tahun.



Gadis tersebut membesar di Nagoya selepas ibunya berkahwin kali kedua dengan seorang lelaki Jepun. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button