Putera Harry akan pulang sendirian lawat Raja Charles

Oleh – Syeikh Baran


Putera Harry akan pulang sendirian lawat Raja Charles
Raja Charles (kanan) bercakap dengan Harry (dua dari kiri) dan Meghan (tengah) sambil diperhatikan oleh Putera Wales, Putera William (kiri) di London pada Mac 2019. – AFP

Duke of Sussex, Putera Harry akan bergegas pulang ke Britain untuk melawat ayahanda beliau, Raja Charles tanpa kehadiran isteri, Meghan Markle, lapor akhbar Daily Express hari ini.

Menurut sumber, Harry akan berlepas dari negeri California di Amerika Syarikat (AS) untuk memberi sokongan moral kepada ayahandanya yang disahkan menghidap kanser.



Perkara itu didedahkan kepada Harry secara peribadi sebelum diumumkan kepada seluruh dunia pukul 6 petang semalam (waktu tempatan).

Bagaimanapun, Duchess of Sussex dan dua anak mereka, Putera Archie serta Puteri Lilibet dilaporkan tidak akan mengikut  Harry pulang ke Britain.

Tiga beranak itu sebaliknya akan kekal di kediaman mereka di Montecito, ujar sumber berkenaan seperti dilaporkan portal berita MailOnline.

“Duke of Sussex (Putera Harry) ada bercakap dengan ayahandanya mengenai diagnosis penyakit itu. Beliau akan pulang ke Britain untuk menziarahi baginda dalam masa beberapa hari lagi,” kata sumber tersebut.



“Ini adalah pengumuman yang mengejutkan untuk permulaan tahun ini bagi seluruh keluarga diraja Britain dan kini, Harry akan pulang.

“Mungkin akhirnya, penyakit Raja Charles akan membawa kepada perdamaian yang kita semua harapkan,” katanya.

Masyarakat umum mengetahui bahawa hubungan Harry dan Meghan bersama  keluarga diraja Britain bermasalah sehinggakan  pasangan  tersebut membuat keputusan untuk berpindah ke AS.

Hubungan dingin tersebut menjadi semakin buruk  apabila mereka bercakap mengenai masalah dalaman keluarga diraja secara terang-terangan semasa  temu bual bersama pengacara popular, Oprah Winfrey. 



Harry juga  menulis sebuah buku mengandungi pelbagai dakwaan negatif tentang monarki Britain selain muncul dalam siri dokumenteri terbitan Netflix bersama Meghan.

Sementara itu, Istana Buckingham dalam satu kenyataan awal hari ini mengesahkan bahawa Raja Charles menghidap penyakit kanser.

Raja Charles memulakan ‘rawatan berkala’ semalam dan akan menangguhkan semua tanggungjawab awam baginda sepanjang tempoh tersebut, kata pihak istana.

“Raja berusia 75 tahun itu bersikap positif mengenai rawatan baginda dan berharap dapat kembali melaksanakan tugas diraja secepat mungkin,” tambah kenyataan sama.



Tiada butiran lanjut lain dikongsikan mengenai jenis kanser dan tahap kanser yang dihidapi baginda. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button