‘Roller coaster’ di Disneyland Hong Kong terhenti
Oleh – Syeikh Baran
12 individu terselamat selepas permainan ‘roller coaster’ dinaiki di Disneyland Hong Kong berhenti berfungsi hari ini, kata pasukan polis dan bomba yang mengerahkan anggotanya ke lokasi terbabit.
Pasukan polis dan bomba dihubungi jam 3.16 petang (waktu tempatan) selepas permainan di taman tema itu, Disney Hyperspace Mountain berhenti berfungsi.
Menurut jurucakap polis, tiada kecederaan dilaporkan atau asap mahupun kebakaran di tempat kejadian.
Menurut jurucakap bomba, kesemua penumpang permainan itu dikeluarkan dalam masa sejam.
Kira-kira 40 anggota bomba dikerahkan ke Disneyland, yang terletak berhampiran lapangan terbang antarabangsa Hong Kong.
Disney memaklumkan, kelewatan penumpang masuk ke roller coaster terbabit, menghalang kereta api berlepas seperti yang dijadualkan.
“Sebagai langkah keselamatan, sistem kawalan tunggangan dihentikan. Satu daripada permainan yang membawa 12 penumpang telah diberhentikan dalam kedudukan yang memerlukan bantuan bomba,” kata jurucakap syarikat terbabit.
Tambahnya, permainan terbabit digantung serta-merta dan akan beroperasi semula sebaik pemeriksaan selesai.
Permainan Hyperspace Mountain digambarkan di laman web Disney seakan masuk ke dunia pertempuran Star Wars.
Mengikut notis di laman webnya, permainan itu sepatutnya ditutup untuk penyelenggaraan rutin dan pemeriksaan, dari 26 Februari hingga 1 Mac. – REUTERS
Sumber – BERITA HARIAN