Kisah Seram : Bahagian 2 – Hijab

Oleh – Syeikh Baran


Kisah Seram : Bahagian 2 - Hijab
GAMBAR HIASAN

Setelah melihat gambar budak bertanduk yang dilukis oleh Arief, fahamlah Kak N dan suami, kawan yang dimaksudkan oleh Arief itu bukan manusia biasa.

Menurut Arief, duit yang diberikan oleh Faizal sebenarnya hanyalah daun-daun kering. Tetapi mata manusia melihatnya seperti duit. Arief gunakan daun-daun itu untuk membayar harga jajan dan roti yang selalu dibelinya dari seorang Benggali yang menjaja roti dengan menaiki motor.

Beberapa hari kemudian, Arief bercerita…



“Ibu, kawan adik marah.”

“Kenapa dia marah?” tanya Kak N.

Apabila Arief bercakap soal ‘kawan’, Kak N faham yang dimaksudkan ialah budak lelaki bertanduk yang bernama Faizal itu.

“Dia marah sebab adik cerita kat ibu dan ayah pasal dia. Dia dan keluarga dia tak suka,” jelas Arief.



Menurut Arief, kawannya itu mempunyai keluarga seperti dirinya juga. Ada ibu, ayah dan adik beradik yang lain. Kesemua mereka bertanduk.

“Ibu, kawan adik ajak adik ikut dia,” kata Arief lagi.

“Adik, adik kena dengar cakap ibu dan ayah. Jangan ikut sesiapa tanpa kebenaran ibu dan ayah ya,” nasihat Kak N dengan berhati-hati.

Kak N bimbang jika makhluk bertanduk itu marah dan membawa lari Arief dari rumah. Sudah beberapa kali Arief memberitahu, kawannya itu ingin membawa dia pergi.

Kak N dan suami mula bimbangkan keselamatan Arief. Mereka bercadang untuk membawa Arief pergi berubat.

Kak N dan suami akhirnya membawa Arief menemui seorang pakar perubatan yang dikatakan arif soal alam ghaib.

Pakar itu memberitahu hal yang sama. Tentang keluarga makhluk jin bertanduk yang menghuni kawasan butan di belakang rumah. Menurut pakar itu, jin itu hanya hendak ‘berdamping’ dengan Arief.

Kisah Seram : Bahagian 2 - Hijab
GAMBAR HIASAN

Pakar itu membaca beberapa potongan ayat dan memberikan Kak N dan suami sebotol air. Arief diberi minum air tersebut.

Ternyata ianya berkesan. Sudah beberapa hari Arief tidak pernah lagi bercerita soal Faizal. Arief hanya bermain di rumah. Kak N dan suami berasa lega.

Suatu hari, Arief tiba-tiba hilang dari rumah. Kak N dan suami kelam kabut mencari Arief. Akhirnya Arief ditemui sedang bermain di belakang rumah.

“Ya Allahhhh, kenapa adik main dekat sini? Puas ibu dan ayah cari,” leter Kak N sambil memeluk Arief.

“Adik tengah main dengan Faizal,” kata Arief sambil menuding jari ke arah hadapan.

Bulu roma Kak N tiba-tiba meremang.

“Ok..ok…dah petang. Tak payah main lagi. Jom naik atas,” kata Kak N sambil memimpin tangan Arief.

Sebelum naik ke rumah, sempat Arief melambai tangan kepada ‘Faizal’ untuk mengucapkan selamat tinggal.

Arief di bawa semula berjumpa pakar perubatan yang sama. Kak N dan suami diberi lagi sebotol air. Ianya berkesan untuk beberapa hari. Kemudian kejadian yang sama berulang. Arief tetap bermain dengan Faizal.

Kak N dan suami tidak berputus asa. Arief dibawa berubat untuk kali ketiga dengan pakar perubatan yang sama. Hal yang sama berlaku lagi. Keadaan pulih untuk beberapa hari.

Kak N dan suami sudah mula pening kepala. Akhirnya mereka terdengar khabar tentang seorang pakar perubatan wanita yang handal mengubati kes-kes mistik seperti ini. Kak N dan suami ingin mencuba.

Menurut cerita orang, ramai yang telah mendapatkan khidmat pakar perawatan wanita ini. Rumahnya sentiasa penuh dengan orang yang mahu datang untuk berubat.

Pada hari yang dijanjikan, Kak N dan suami membawa Arief ke rumah pakar perubatan tersebut. Berbanding dengan yang pertama, kali ini Arief kelihatan gelisah dan tidak selesa.

Arief diam sahaja sepanjang proses rawatan berlangsung. Setelah mengubati Arief dengan bacaan dan ritual tertentu, wanita itu meminta Kak N dan suami datang untuk sesi rawatan kali kedua.

Apa yang mengejutkan, setelah balik dari rumah pakar perubatan itu, Arief memberitahu tidak mahu lagi ke rumah wanita itu. Arief memberitahu wanita yang mengubat itu mempunyai sesuatu di dalam perutnya, iaitu pendamping.

Menurut Arief, yang menjalankan rawatan bukanlah wanita itu tetapi ‘pendampingnya’. Dalam erti kata lain, wanita yang merawat itu juga menggunakan khidmat jin. Terkedu Kak N dan suami memdengar penjelasan Arief.

Logiknya ketika itu Arief baru berusia 6 tahun. Takkan lah Arief pandai-pandai mereka cerita untuk hal-hal yang serumit itu.

Akhirnya Kak N dan suami membatalkan niat untuk mendapatkan rawatan kali kedua bersama pakar perubatan wanita tersebut.

Arief dan Faizal tetap berkawan. Bergurau dan bermain seperti sebelumnya. Kak N dan suami masih bimbang dengan apa yang berlaku terhadap Arief.

Kali ini Arief dibawa berjumpa pula dengan seorang ustaz. Ustaz Aznil yang berasal dari Gombak itu kelihatan sangat tenang dan lemah lembut bila berkata.

Ustaz Aznil bertanya tentang masalah Arief. Kak N menceritakan perihal Arief dan budak bertanduk bernama Faizal. Ustaz Aznil hanya mengangguk-angguk sambil mendengar cerita dari Kak N dan suami.

Ustaz Aznil mendekati Arief. Mengusap kepala Arief dengan lembut sambil mula membaca ayat-ayat Ruqyah.

Bermula dari Surah Al-Fatihah, beberapa potong ayat dari Surah Al-Baqarah, Ali-Imran, Al-‘Araf, Yunus, Taha, Al-Mukminun, As-Soffaat, Al-Ahqaaf, Ar-Rahman, Al-Hasyr, Al-Jin, Al-Ikhlas, Al-Falaq, hinggalah ke Surah An-Naas, Arief tetap bersikap tenang.

“Tidak ada apa-apa yang tuan dan puan perlu risaukan tentang anak ini. In shaa Allah anak ini tidak apa-apa. Dia cuma diberikan kelebihan oleh Allah untuk melihat apa yang orang lain tidak boleh lihat,” kata Ustaz Aznil lembut.

“Tentu ada hikmahNya mengapa anak ini yang terpilih untuk menerima anugerah Allah ini,” sambung Ustaz Aznil lagi.

Kak N dan suami berasa sedikit lega bercampur khuatir. Lega kerana tidak ada apa-apa yang ‘menghuni’ di dalam badan Arief. Khuatir jika akhirnya Arief tidak mampu untuk menanggung ‘kelebihan’ itu.

Sebelum Kak N dan suami pulang, Ustaz Aznil sempat berpesan…

“Jangan ditanya apa yang telah dilihat oleh anak ini. Selalunya makhluk-makhluk itu akan mendengar dan menganggap kita berminat dengan mereka. Mereka akan mengikut balik!”

Seram sejuk Kak N dan suami mendengar kata-kata Ustaz Aznil.

Kak N dan suami masih tidak berputus asa. Arief dibawa pula berubat dengan salah seorang saudara Kak N sendiri.

Saudara Kak N memberitahu, apa yang Arief alami sekarang tidak boleh dibuang melainkan akan hilang sendiri bila sampai waktunya. Ada kemungkinan juga kebolehan Arief itu akan kekal buat selama-lamanya.

Saudara Kak N juga memberitahu, semakin Arief membesar, maka semakin Arief dapat melihat rupa sebenar makhluk yang boleh dilihatnya itu.

Dalam erti kata lain, makhluk yang asalnya nampak cantik dan molek ketika Arief kecil akan kelihatan semakin buruk dan hodoh dari sehari ke sehari, seiring dengan usia dan kematangan Arief.

Saudara Kak N mengajar Arief beberapa surah pendek untuk diamalkan. Surah-surah itulah yang selalu Arief baca jika terlihat makhluk-makhluk yang tidak sepatutnya dilihat.

Kak N dan suami berasa sedikit lega apabila melihat kehidupan kanak-kanak Arief tidak terjejas dengan kebolehan yang dimilikinya.

Rupa-rupanya kebolehan Arief ini bukanlah perkara pertama terjadi di dalam keluarga. Khabarnya salah seorang datuk saudara Kak N yang bernama Wak Jasmani, juga mempunyai kelebihan yang sama.

Datuk saudara Kak N pernah memberitahu arwah bapa Kak N, akan ada salah seorang keturunannya yang akan memperolehi kelebihan yang sama.

Namun ianya bukanlah saka warisan turun temurun. Cuma kelebihan yang diberikan Allah dan yang hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui apakah hikmah disebaliknya.

Teringat Kak N satu kisah sebelum.musim PKP yang lalu. Ketika itu Kak N sekeluarga pergi ke rumah besan Kak N di Gombak

Ketika di dalam perjalanan, Arief memberitahu dia ternampak seperti ada sesuatu yang sedang terbang dan mengekori kereta mereka.

Ketika sampai di sebuah lampu isyarat, benda yang dikenali sebagai langsuir itu dikatakan masih mengikut kenderaan mereka. Kak N dan suami sudah mula ketakutan.

Arief meminta ayahnya berhenti di sebuah masjid. Agak lama juga Kak N sekeluarga berehat di masjid itu, sehinggalah akhirnya Arief memberitahu makhluk menyeramkan itu sudah pergi dan tidak menunggu mereka lagi.

Sebelum bulan puasa yang lalu, Arief juga tiba-tiba melarang Kak N dan ahli keluarga yang lain keluar daripada rumah.

Menurut Arief, ada seekor langsuir sedang berkeliaran, terbang melayang-melyang berhampiran rumah. Kemudian Arief memberitahu, makhluk itu kemudiannya dilihat sedang bertenggek di atas pagar rumah jiran sebelah.

Selain boleh melihat makhluk halus, Arief juga boleh melihat susun atur barang di dalam rumah nenek dan datuknya, sebelum kewujudan dirinya.

Contohnya, Arief pernah memberitahu di mana letaknya televisyen di rumah datuknya ketika ibunya, iaitu Kak N masih kecil.

Arief juga memberitahu tentang tangga buluh yang dibuat oleh arwah bapa Kak N. Apa yang pelik Arief tidak pernah melihatnya ketika dia sudah lahir kerana tangga buluh itu wujud ketika Kak N masih kanak-kanak lagi.

Arief juga memberitahu soal tabung buluh yang dibuat oleh neneknya, iaitu ibu Kak N ketika Kak N masih kecil.

Dan Arief juga mengetahui tentang kisah datuknya mengislamkan seekor jin. Malah menurut Arief, jin yang diislamkan datuknya itu masih menghuni di dalam rumah pusaka peninggalan arwah datuk dan neneknya.

Untuk pengetahuan pembaca, Kak N sekeluarga telah berpindah dari kampung itu dan kini menetap di rumah yang lain sejak 5 tahun yang lalu.

Namun Faizal si budak bertanduk, masih tetap mengekori Arief dan tetap berkawan dengan Arief walau ke mana pun Arief pergi.

Pernah sekali menantu Kak N menegur Arief yang kelihatan mencucuk-cucuk sesuatu di belakang televisyen.

“Adik buat apa tu? Apa yang adik cucuk?” tegur menantu Kak N.

“Adik cucuk kawan adik ni,” kata Arief selamba sambil terus tergelak-gelak seperti bergurau dengan seseorang.

Terlalu banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh Kak N dan suami untuk menangani Arief yang diberikan kebolehan serupa itu.

Bagi Kak N dan suami, Arief seorang anak yang terlalu istimewa. Kak N dan suami berusaha melakukan yang terbaik agar Arief terus hidup selesa walaupun boleh melihat apa yang orang lain tidak boleh lihat.

Menurut nasihat seorang ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Shahan, kedudukan perabot di dalam rumah perlu sering ditukar atau dialih-alih untuk mengelirukan dan mengurangkan aktiviti makhluk halus mengganggu Arief.

Kisah Seram : Bahagian 2 - Hijab
GAMBAR HIASAN

Menurut Kak N, dua hari yang lalu, Arief memberitahu, makhluk yang selalu menghembus muka Arief ketika tidur, tidak dapat mencari Arief kerana kedudukan perabot yang sudah bertukar.

Walaupun Arief sering dilihat selamba dan tidak takut pada makhluk halus, namun Arief memberitahu dia tidak suka berada lama di dalam bilik air.

Pernah Arief menceritakan, apabila Arief sedang bersyampu, makhluk yang menyeramkan berada betul-betul di hadapan mukanya ketika dia membuka mata.

Hal itu agak menakutkan bagi Arief kerana membuatkan dia terperanjat. Tambahan lagi, Arief tidak boleh membaca ayat-ayat suci di dalam bilik air.

Menurut Arief, makhluk-makhluk di dalam tandas atau bilik air, bukan sahaja berwajah buruk, tetapi juga berbau sangat busuk.

Menurut Arief, kini dia sudah semakin dapat mengawal kebolehannya. Jika dia mahu melihat makhluk-makhluk halus di sekelilingnya dengan jelas, dia cuma perlu mengedipkan mata sebanyak dua kali. Jika tidak mahu dia hanya perlu mengedipkan sekali dan terus berpaling ke arah lain.

Kini Arief sudah berusia 12 tahun. Kak N telah mengirimkan gambar Arief untuk tatapan saya. Tetapi maaf, tidak dapat saya kongsikan untuk tatapan pembaca kerana menjaga amanah daripada Kak N. Sememangnya Arief seorang budak yang comel dan wajahnya kelihatan sangat tenang dan bersahaja.

Sama-sama kita doakan agar Arief, Kak N dan keluarga terus cekal dan bahagia, hidup di dunia dan akhirat.

In shaa Allah, selepas ini, saya akan ceritakan pula tentang abang ipar kepada Kak N.

SEKIAN

Penulis merupakan seorang guru sekolah di Tanah Rancangan Felda

 

Sumber – CERITA SERAM LEPAK SANTAI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker