Kumpul maklumat selama 43 tahun lalu usaha mustahil

Oleh – Syeikh Baran


Kumpul maklumat selama 43 tahun lalu usaha mustahil

Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersabar serta memahami kekangan dalam mengisytihar harta kepada agensi itu.

Dalam satu kenyataan bersama, Mokhzani dan Mirzan menegaskan bahawa SPRM telah memberi tempoh 30 hari untuk memenuhi permintaan itu.

Mereka berkata, tugas untuk mengumpulkan maklumat selama 43 tahun itu sukar dan satu usaha yang mustahil.



“SPRM telah meminta senarai aset sejak 1981 iaitu tahun ketika bapa kami menjadi Perdana Menteri.

“Kami sedang menyusun maklumat yang ada dan melibatkan pihak berkaitan untuk membantu serta menasihati mengenai proses tersebut,” katanya pada Khamis.

Media pada 18 Januari lalu melaporkan, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua mereka boleh menghadapi tindakan undang-undang jika gagal mengisytiharkan harta seperti diminta.



Beliau berkata, notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM telah dihantar kepada mereka, tetapi tiada maklum balas diterima.

Dalam pada itu, Mokhzani dan Mirzan berkata, perlu ada sekatan bagi semua pihak untuk mengulas mengenai siasatan terhadap mereka bagi mengelakkan sebarang salah nyata atau prasangka.

“Ia terutamanya apabila tidak dimaklumkan mengenai penyiasatan secara spesifik selain berkaitan dengan bapa kami,” ujarnya.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker