Pengasuh dera bayi direman tujuh hari

Oleh – Syeikh Baran


Pengasuh dera bayi direman tujuh hari
FOTO HIASAN

Seorang wanita yang juga pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Nilai di sini yang disyaki terbabit dalam kes penderaan bayi berusia 11 bulan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, permohonan reman ke atas suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini.

“Mahkamah membenarkan reman tujuh hari sehingga 14 Februari depan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya. Buat masa ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Semalam, media melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 20-an yang menyatakan anak perempuannya telah didera di pusat asuhan terbabit pada pukul 6.12 petang Selasa lalu.

Dalam kejadian tersebut, bayi perempuan itu dikatakan mengalami kecederaan pada mata dipercayai dipukul ketika dibawa jagaan pusat asuhan yang terletak di sebuah taman perumahan dekat Nilai itu.

Susulan itu, katanya, polis telah membuat tangkapan ke atas suspek iaitu seorang wanita berusia 66 tahun yang merupakan pekerja pusat asuhan tersebut.

Abdul Malik dalam pada iru berkata, pusat asuhan itu telah beroperasi lebih kurang 20 tahun dan penubuhannya mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semakan terhadap suspek mendapati wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah serta tidak terbabit penyalahgunaan dadah.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker