Anggota tentera antara 1,074 ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Anggota tentera antara 1,074 ditahan
Gambar Hiasan

Anggota tentera antara 1,074 individu yang ditahan polis sepanjang 10 hari menerusi Operasi Tapis Khas (OTK) dan Ops Tapis Bersepadu Sempadan di seluruh negeri yang berakhir pada Rabu.

Kesemua yang ditangkap itu masing-masing berusia diantara 15 hingga 65 tahun dan terdiri daripada 1,058 lelaki serta 16 perempuan.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, pada Isnin sekitar jam 2.30 pagi sepasukan anggota dari Balai Polis Kuala Balah, Jeli telah berjaya menahan dua lelaki dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera yang sedang berhenti di tepi jalan Kampung Relak, Kuala Balah.



“Salah seorang yang ditahan itu merupakan anggota tentera berusia 26 tahun.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas beg silang milik penjawat awam itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah jenis syabu seberat 2.72 gram, pil yaba (1.72 gram), pil erimin 5 (4.25 gram) dan pil epam (2.27 gram),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, kesemua rampasan dadah terbabit bernilai RM600 dan ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Muhamad Zaki memberitahu, salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.



Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, sepanjang operasi tersebut pelbagai jenis dadah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM192,114.

“Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 16,615 orang penagih dadah,” ujar beliau.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker