Mengaku tak bersalah cederakan lans koperal

Oleh – Syeikh Baran


Mengaku tak bersalah cederakan lans koperal
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak hari ini. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

Seorang pekebun yang diberkas kerana melanggar seorang anggota polis sedang bertugas di Tanjung Rambutan Ahad lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, T. Kuna, 34, yang didakwa atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan parah itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa bernama Muhammad Dzulfaizi Dzulkafli, 34, dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta jenis Proton Iriz bernombor pendaftaran WB1209S.



Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan kebun kelapa sawit di Jalan Chemor dekat Tanjung Rambutan, Ipoh sekitar pukul 8 malam, 4 Februari 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dan memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam untuk tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam Ahad lalu, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 34 tahun dari Balai Polis Tanjung Rambutan itu cedera patah tulang rusuk dan bahu.



Kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan setugas ingin membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta Proton Iriz yang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

Bagaimanapun, pemandu kereta itu bertindak mengundurkan kenderaan sebanyak dua kali lalu melanggar mangsa sebelum memecut laju untuk melarikan diri.

Berikutan itu, dua suspek yang merupakan pasangan tunang berjaya diberkas dalam tempoh kurang 24 jam di kawasan Tanjung Rambutan dan suspek wanita berusia 35 tahun kemudiannya dibebaskan serta dijadikan saksi pendakwaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker