Pandu bas persiaran 11 penumpang tanpa lesen

Oleh – Syeikh Baran


Pandu bas persiaran 11 penumpang tanpa lesen
Lokman ketika menegur perbuatan lelaki tersebut yang membawa bas persiaran tanpa lesen dalam Ops Tahun Baru Cina di Plaza Tol Kemuning di sini, malam ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Tindakan seorang pekerja kilang memandu bas persiaran tanpa lesen terbongkar apabila ditahan ketika membawa 11 penumpang dalam Op Tahun Baru Cina di Plaza Tol Kemuning di sini, malam ini.

Lelaki berusia 33 tahun ditahan kira-kira pukul 9.40 malam dengan semasa kejadian bas tersebut dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) susulan penumpangnya akan menaiki penerbangan kira-kira pukul 12 tengah malam ini.
 

Menurut lelaki tersebut, dia terpaksa membawa bas tersebut selepas dipujuk abangnya susulan ketiadaan pemandu kerana cuti Tahun Baru Cina.

“Saya tahu tiada lesen tetapi terpaksa sebab semua penumpang mahu ke KLIA untuk penerbangan ke luar negara pukul 12 tengah malam ini.

“Tidak tahu pula malam ini ada operasi dengan saya baharu bertolak dari Bandar Puteri Klang di sini kira-kira pukul 9.10 malam tadi. Lagipun bas ini milik syarikat abang saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Perbuatan lelaki tersebut turut mendapat teguran daripada Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan kerana boleh merbahayakan penumpang tanpa sebarang perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

“Saman akan dikeluarkan kepada pemandu dan syarikat tersebut selain perlu mencari pemandu ganti bagi menggantikannya,” katanya.

Dalam pada itu, semasa operasi tersebut turut membongkar helah remaja perempuan berusia 19 tahun yang menunggang motosikal tanpa lesen sejak dua bulan lalu.

Malah, motosikal Yamaha Y15 tersebut juga didapati menggunakan nombor plat fancy di bahagian belakang selain tiada nombor pendaftaran di bahagian depan.

“Saya baru hendak buat malam ini di Uptown Seksyen 24 sebab cover set baharu sahaja pecah dalam kemalangan minggu lepas.

“Lagipun malam ini juga mahu temankan kakak angkat bagi membeli barang persiapan bagi majlis perkahwinannya pada Ahad ini,”ujarnya.

Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya membuat remaja mengaku baharu sahaja dikenakan saman awal bulan ini atas kesalahan sama oleh polis.

Sumber – KOSMO!ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker