Waris mangsa penipuan pekerjaan Myanmar bayar tebusan RM30,000

Oleh – Syeikh Baran


Waris mangsa penipuan pekerjaan Myanmar bayar tebusan RM30,000
Sepuluh rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar tiba di KLIA hari ini. Foto NSTP/Samadi Ahmad

Seorang mangsa penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia terpaksa membayar wang tebusan sebanyak RM30,000 kepada ejen untuk dibebaskan daripada sindiket yang menjalankan aktiviti penipuan kripto di Myawaddy, Myanmar.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chong, 32, berkata dia ditipu dan dipaksa menjadi scammer sejak tiga tahun lalu selepas tergoda dengan tawaran gaji tinggi RM7,000 sebulan melalui Facebook sebagai pekerja sebuah kasino di Bangkok, Thailand.



Beliau berkata, selepas tiga hari berada di Bangkok, dia dibawa ke Myanmar dengan pacuan empat roda ke Myawaddy dan ditempatkan di sebuah pangsapuri sebelum dipaksa menjadi scammer.

“Sepanjang menjadi scammer, saya pernah didera, dipukul dan ditendang ahli sindiket termasuk tidak dibayar gaji,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bangkok di sini, hari ini.

Beliau tiba di KLIA bersama sembilan lagi mangsa penipuan pekerjaan dan disambut oleh ahli keluarga masing-masing.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dan beberapa ahli jawatankuasa pertubuhan itu.



Ah Chong yang berasal dari Rawang, Selangor berkata, dia dibebaskan selepas ahli keluarganya membayar tebusan dalam sebuah akaun rakyat Malaysia yang terbabit dengan sindiket berkenaan.

Katanya, kira-kira 80 rakyat Malaysia masih terkandas dan dipaksa menjadi scammer di pangsapuri sama dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat negara ini.

“Saya berterima kasih kepada ahli keluarga kerana sanggup berkorban untuk membebaskan saya daripada berdepan peristiwa hitam ini,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya berjaya membawa pulang seramai 10 mangsa penipuan pekerjaan di Myawaddy dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tentera Thailand.



Katanya, semua mereka dijadikan mangsa penipuan pekerjaan pelaburan mata wang kripto sejak dua hingga tiga tahun lalu yang menyasarkan rakyat Malaysia.

“Sepuluh mangsa yang diselamatkan ini berjaya melepaskan diri daripada anggota sindiket dan lari ke sempadan Thailand bagi mendapatkan bantuan.

“Sepatutnya seramai 12 rakyat Malaysia dibawa pulang hari ini, namun dua lagi masih dalam proses di Imigresen Thailand dan dijangka pulang pada Isnin ini,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button