Lelaki bawa 14kg dadah di Bukit Beruntung

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki bawa 14kg dadah di Bukit Beruntung
Ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dirampas susulan tangkapan empat ahli sindiket edar dadah di Hulu Selangor.

Seorang lelaki warga asing antara empat ahli sindiket yang diberkas selepas disyaki terbabit kes memiliki dan mengedar ganja di sekitar daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, tangkapan pertama dilakukan pada pukul 6 petang daripada sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Katanya, lelaki tempatan berusia 36 tahun tersebut ditahan ketika berada dalam sebuah kereta di tempat letak kereta di Bukit Beruntung, di sini.

“Tangkapan pertama berjaya membawa kepada rampasan ganja 14 kilogram (kg) dari dalam kenderaan dinaikinya.



“Seterusnya, pasukan serbuan sama menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 61 tahun berhampiran sebuah restoran di Bukit Sentosa.

“Turut dirampas ganja seberat 3 gram (g) dari salah seorang suspek,” katanya pada sidang akhbar di IPD Hulu Selangor, hari ini.

Jelas beliau, semakan lanjut pada kenderaan suspek mendapati terdapat sepucuk pistol angin berwarna hitam berserta satu kelopak peluru.

Tambah Faizal, susulan tangkapan dan rampasan, salah seorang suspek telah memandu arah ke stor simpanan ganja di kawasan apartmen di Bukit Beruntung.



“Pemeriksaan di stor tersebut berjaya menemui dua paket lutsinar ganja sekitar 1.3kg,” katanya.

Kata Faizal, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan Toyota Hilux, motosikal Honda Vario dan wang tunai bernilai RM383 milik kesemua suspek.

Kata beliau, kesemua dadah yang dirampas bernilai RM 43,710 dan seberat 15.28kg dipercayai untuk dipasarkan sekitar daerah ini.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga Khamis hadapan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B, Seksyen 6, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker