Yob Kuang masuk perangkap Perhilitan

Oleh – Syeikh Baran


Yob Kuang masuk perangkap Perhilitan
SEEKOR harimau belang ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang Perhilitan di Kampung Ulu Kuang dekat Chemor, Tambun di sini hari ini.-Foto PEMBACA

Penduduk di sekitar Kampung Ulu Kuang dekat Chemor di sini lega selepas seekor harimau belang yang sering berkeliaran berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Harimau jantan seberat 156 kilogram itu ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang di kawasan ladang kepala sawit sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ulu Kuang, Hamdan Isa, berkata, penduduk kini berasa lega kerana ketakutan yang membelenggu mereka sejak lebih setahun lalu berakhir.



Katanya, sebelum ini, banyak aduan dibuat penduduk berkaitan kehilangan haiwan ternakan termasuk lembu dan kambing.

“Sebelum ini, penduduk takut untuk keluar menoreh dan ke kebun sawit selepas mendakwa ternampak kelibat harimau belang dan menjumpai kesan tapak kaki.

“Dengan tertangkapnya harimau ini, kami berasa lega sebab lebih setahun mencari akhirnya harimau itu masuk ke dalam perangkap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Penolong Pengarah Kanan Perhilitan Perak, Nor Hani Abdul Samat berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan binatang buas itu pada Khamis lalu dan memasang kamera perangkap di lokasi berkenaan.



Katanya, pemasangan kamera itu berjaya mengesan harimau belang itu sebelum perangkap dipasang dengan mengumpan bangkai lembu.

“Pemeriksaan oleh anggota Perhilitan pada pukul 11 pagi tadi menemukan haiwan tersebut telah pun memasuki perangkap.

“Harimau belang yang dinamakan Yob Kuang itu dianggarkan berusia enam tahun dan dipercayai dari Hutan Simpan Bukit Kinta,” katanya.

Menurut beliau, harimau yang disahkan dalam keadaan sihat itu dibawa ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker