Ribuan saksi laut terbelah di Langkawi

Oleh – Syeikh Baran


Ribuan saksi laut terbelah di Langkawi
Tanjung Rhu

Fenomena laut terbelah susulan kemunculan beting pasir sepanjang 600 meter di Pantai Tanjung Rhu di sini pagi ini menarik perhatian lebih 3,000 pengunjung.

Kejadian sama yang menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan dijangka berulang esok mulai 7.30 pagi.



Seorang pengunjung, Marlisa Mohamad, 31, dari Kuala Lumpur, berkata dia bersama suami dan dua anak tiba awal di kawasan itu bagi melihat kejadian yang jarang berlaku untuk dijadikan kenangan.

“Kawasan ini kalau air pasang memang tak boleh sampai sebab air dalam, tapi menerusi kejadian unik ini saya dan keluarga dapat berjalan sejauh 600m dari pantai hingga ke Pulau Chabang dan Pulau Kelam Baya.

“Kita dapat melihat habitat pelbagai hidupan marin seperti tapak sulaiman, sotong kurita, kuda laut, siput kon, obor-obor yang masih hidup terdampar atas pasir,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Turut meninjau fenomena air surut itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah.



Mengulas perkara itu, Haslina berkata, keunikan fenomena yang jarang berlaku dan menarik perhatian ramai itu mula diketengahkan sebagai produk pelancongan di pulau legenda itu sejak empat tahun lalu.

“Dianggarkan 3,000 pengunjung terdiri penduduk tempatan dan pelancong tiba di sini seawal jam 6.30 pagi semata-mata bagi melihat sendiri fenomena air surut habis dan berjalan atas beting pasir sejauh 600m.

“Kejadian (beting pasir) ini dikatakan berlaku sejak lebih 19 tahun lalu, namun LADA mengambil inisiatif bekerjasama dengan sebuah hotel berhampiran dan mempromosinya sebagai aset pelancongan sejak empat tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Muhammad Shuhaimi Abd Rahman mengesahkan air laut sekitar Langkawi surut pada paras 0.1m selama dua hari pada awal pagi bermula hari ini.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button