Sungai tercemar, penduduk mahu JAS siasat

Oleh – Syeikh Baran


Sungai tercemar, penduduk mahu JAS siasat

Sungai Ketil di Taman Rekreasi Rimba Wangi, Taman Wangi, di sini, didakwa tercemar akibat sisa buangan membimbangkan penduduk terutama apabila lokasi itu menjadi tumpuan pada hujung minggu dan cuti persekolahan.



Penduduk mendakwa, keadaan itu sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Menurut Wan Jasmy Wan Abdullah, 42, berkata dia tidak tahu sisa buangan apa yang dibuang tetapi kualiti air sungai itu kerap bertukar hitam dan penduduk juga pernah terjumpa banyak ikan mati.

Katanya, apa yang merisaukan biarpun air sungai tercemar, masih ramai penduduk luar yang tidak tahu dan mereka datang untuk mandi-manda serta berkelah bersama keluarga.

“Saya menyedari keadaan air yang berwarna hitam itu pada pagi Jumaat lalu dan ketika itu terdapat beberapa keluarga sedang mandi-manda di taman rekreasi itu.



“Bagaimanapun, pada waktu petang air sudah nampak bersih kerana aliran air Sungai Ketil di kawasan ini yang deras,” katanya ketika ditemui di Taman Rekreasi Rimba Wangi di sini, hari ini.

Menurutnya, pada tahun 2021, ribuan bangkai ikan ditemui terapung dan mengesyaki kematian ikan itu berpunca daripada sisa buangan dari kilang yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan sungai ini.

“Kami mahu pihak berkuasa terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat punca kejadian kerana kami tidak mahu Sungai Ketil terus tercemar.

Khairul Ezwan Wahet, 47, pula berkata, kawasan rekreasi Rimba Wangi itu kini di bawah Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Wangi menjadi kawasan tumpuan orang ramai apabila aktiviti tubing turut diadakan dan disertai oleh pelancong luar negara.



“Cerita mengenai sungai ini masih berlarutan walaupun sebelum ini kita sudah melaporkan kepada wakil rakyat, JAS serta menularkan isu berkenaan di media sosial.

“Saya berharap pihak berwajib dapat mengambil serius dan membantu menyelesaikan masalah warna air sungai yang hitam supaya kembali pulih seperti sedia kala kerana Sungai Ketil adalah punca air utama penduduk di sekitar bandar Gua Musang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata beliau pernah membawa masalah berkenaan kepada pihak JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuklah serbuan ke kilang yang disyaki pernah dibuat sebelum ini.

Katanya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan termasuklah mengambil sampel air kerana pencemaran sungai sangat mengganggu penduduk yang banyak melakukan aktiviti berkelah di Rimba Wangi.



“Orang ramai terutamanya pemancing yang ada maklumat sila tampil menyalurkan maklumat berserta gambar atau video jika mereka mengetahui kegiatan pencemaran yang dilakukan di kawasan sungai itu.

“Tindakan segera perlu diambil terutamanya di kawasan kilang berkaitan kerana pencemaran sungai tidak harus dibiarkan berlarutan terutamanya ketika waktu cuti persekolahan ini,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button