‘Pecat, pecatlah …takkan nak setuju

Oleh – Syeikh Baran


'Pecat, pecatlah ...takkan nak setuju
Hassan Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak gentar dengan tindakan digantung atau dibuang parti berikutan teguran mendakwa reformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu perlahan dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) wajar turun ke jalanan bagi menuntut janji.

Katanya, beliau berpendirian berpegang kepada prinsip dan tidak akan tunduk atau berdiam diri terhadap perkara tidak betul sekali gus memerlukannya menegur demi kepentingan semua pihak.



Menurutnya, dia tidak gentar dipecat atau digantung keahlian daripada PKR kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan malah tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan dan parti.

“Jadi saya nak jaga apa sangat, buang, buangla, pecat, pecatla. Saya tukar baju Ahli Parlimen pakai baju ‘lawyer’, pergi mahkamah.

“Bukanlah saya berkata angkuh bila kata macam itu. Saya tiada kekuatan, kalau saya disingkirkan daripada parti tak rugi apa pun. Patah tumbuh hilang berganti.

“Saya serah sahaja, apa pilihan yang saya ada, saya dah tua, takkan nak setuju atau tunduk sahaja,” katanya ketika hadir di sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Kim Ying, Plentong di sini hari ini.



Hassan berkata, dia percaya Anwar yang juga Presiden PKR faham perkara yang disuarakannya dan itu bukan kali pertama beliau membuat teguran.

Menurutnya, malah Anwar yang merupakan sahabatnya sejak di menara gading juga sentiasa terbuka bagi menerima teguran dan pandangan membina.

“PKR adalah sebuah parti politik berteraskan perjuangan reformasi dan perlu diteruskan serta pada masa sama percaya agenda itu akan diteruskan selagi Anwar menjadi Presiden parti berkenaan.

“Kalau orang lain jadi Presiden PKR, saya tidak berani cakap tapi teguran saya itu Anwar faham maksud saya (perkara yang dibangkitkan).



“Kita tidak mahu Anwar dikelilingi pegawai dia yang ‘yes man’ sokong sahaja.

“Ini sokongan yang membawa rebah, oleh itu kita percaya Anwar tidak boleh dikelilingi mereka yang angguk-angguk,” katanya.

Hassan berkata, walaupun membuat teguran termasuk dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, hubungannya dengan Anwar tidak mempunyai masalah.

“Dia ada baca analisis yang saya tulis berkaitan isu pengampunan Najib dan Anwar menyatakan analisis yang tepat.



“Hubungan saya dengan Anwar tidak terjejas dan sangat baik termasuk dia kerap bertanya khabar,” katanya.

Beliau mengulas sama ada bersedia dikenakan tindakan selepas semalam mendakwa reformasi dilaksanakan Anwar terlalu perlahan dan BERSIH wajar turun ke jalanan menuntut janji.

Pada Rabu lalu, BERSIH menggesa pentadbiran Anwar tidak lagi berdalih dan melaksanakan semua agenda reformasi dijanjikan sebelum menjadi kerajaan dan mengugut berdepan demonstrasi jalanan.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenakan tindakan disiplin terhadap Hassan susulan kelantangan beliau dalam menyuarakan pelbagai isu ketika ini.



Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading