Jiran dakwa lihat percikan api

Oleh – Syeikh Baran


Jiran dakwa lihat percikan api
Lima unit rumah dilaporkan musnah dalam kebakaran semalam.

Pemilik rumah di sebuah unit kediaman di tingkat 17, Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, yang dilaporkan hangus terbakar semalam memberitahu ada jiran mendakwa ternampak percikan api daripada rumahnya.

Miss Law, 32, berkata, dia tidak berada di rumah semasa kejadian dan berada di sebuah pusat beli-belah di Cheras, di sini.



Katanya, dia mengetahui insiden berkenaan setelah menerima panggilan daripada sepupunya kira-kira pukul 9.45 malam.

“Ketika kejadian, saya dan ibu keluar bersama dua anak sebelum sepupu yang duduk di blok lain telefon beritahu rumah saya terbakar.

“Saya bergegas pulang, namun tidak dapat masuk. Ada jiran beritahu kebakaran bermula di rumah saya kerana dia ternampak percikan api pada kotak fius,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Dia yang tinggal bersama ibunya di kediaman itu berkata, dia sangat terkejut dengan insiden kebakaran itu.



Selain kehilangan tempat tinggal sejak lahir, dia dan ibunya turut mengalami kerugian ribuan ringgit serta pelbagai dokumen peribadi musnah dalam kebakaran itu.

Bagaimanapun, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa terbabit dan kebakaran tidak berlaku ketika penghuni sedang tidur.

“Kami kini sehelai sepinggang, duit ibu juga musnah terbakar. Sangat terkejut, berlaku pada hari raya (Tahun Baharu Cina) pula.

“Kami harapkan pihak kerajaan dapat menyediakan rumah baharu yang dapat menggantikan yang terbakar ini,” ujarnya.



Miss Law turut menafikan satu laporan yang mendakwa kebakaran tersebut berpunca disebabkan ritual agama sempena Tahun Baharu Cina.

Semalam Kosmo! melaporkan sebanyak lima unit rumah di tingkat 17, Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, musnah terbakar.

Seramai 16 penghuni daripada lima buah rumah terkesan dalam kejadian terbabit dan kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Cheras, di sini.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button