UMNO Kedah selar cadangan Nga Kor Ming

Oleh – Syeikh Baran


UMNO Kedah selar cadangan Nga Kor Ming
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan agar Kampung Baru Cina di Selangor diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) tidak melambangkan tindakan sebuah kerajaan yang mewakili pelbagai kaum dan agama.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tambahan pula DAP juga sebelum ini mendakwa mereka adalah parti pelbagai kaum dan agama.



Beliau berkata, sekiranya Nga Kor Ming menteri yang benar-benar menjaga kepentingan semua kaum, tidak sepatutnya hanya perkampungan Cina sahaja yang diwartakan.

“Kenapa tiada cubaan yang sama dengan kampung kaum Melayu dan India? Sebaliknya kampung-kampung Melayu diroboh dan dikacau,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, tindakan itu juga kelihatan seperti Kor Ming cuba mengekalkan budaya kaum sendiri sahaja dan mengenepikan budaya, tradisi dan sejarah kampung-kampung lain.
 

“Mereka terlupa agaknya yang sekarang mereka bukan lagi pembangkang dan mereka juga mungkin terlupa yang DAP sudah bekerjasama dengan UMNO,” tegasnya.

Shaiful Hazizy berkata, sama ada mahu atau tidak DAP perlu berhenti mengeluarkan sentimen agama dan perkauman.



“Tindak-tanduk DAP ini menimbulkan kerisauan dalam UMNO Kedah. Ini sebab ada dalang-dalang dalam DAP yang cuba untuk mengganggu gugat keharmonian Kerajaan Perpaduan dan cubaan untuk mencetuskan perbalahan sesama parti komponen.

“Saya beri amaran kepada Nga Kor Ming, menjadi menteri bukan lah lesen untuk mencadangkan benda yang bukan-bukan. Ingat lah sensitiviti parti lain,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button