UMNO Selangor kekal pendirian

Oleh – Syeikh Baran


UMNO Selangor kekal pendirian
Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin

UMNO Selangor kekal pendirian memulangkan 20 kuota kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diisi wakil Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, bagi jawatan ketua kampung pula, pihaknya telah meminta UMNO bahagian yang terdapat kampung tradisi untuk menghantar nama calon bagi pertimbangan lantikan baharu pada Mac.

Menurutnya, setakat ini UMNO Selangor kekal mahu jawatan ketua kampung lantikan diisi oleh parti tersebut.



Beliau menjelaskan, lantikan ketua kampung itu merujuk kepada jawatan peringkat Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“PH juga boleh melantik (ketua kampung peringkat negeri) kerana tak bertembung dengan lantikan peringkat KKDW.

“Cuma kita akan lihat terma (agihan tugas) supaya fungsinya tidak bertindih,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui pada Lawatan Turun Padang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang pada Isnin.

Megat Zulkarnain berpandangan, tidak timbul masalah satu kawasan mempunyai dua ketua kampung kerana memberi lebih alternatif kepada penduduk memohon bantuan.



“Ada persoalan timbul berkait dua ketua dalam satu kampung.

“Pada saya ia tidak jadi masalah sebaliknya lebih menguntungkan kerana terdapat dua sumber yang boleh bantu penduduk kampung,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, Megat Zulkarnain berkata, UMNO Selangor memutuskan untuk menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis PBT di negeri itu kepada parti sekutunya, PH.

Bagaimanapun, UMNO Selangor mahu semua 373 jawatan JPKK di negeri tersebut diberikan kepada parti berkenaan.

Sementara itu, Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Juwairiya Zulkifli pula berkata, hasrat UMNO Selangor memulangkan 20 kouta ahli majlis PBT bagi mendapatkan semua jawatan JPKK perlu diteliti semula kerana dianggap tidak wajar dan tidak munasabah.

Ujarnya, tuntutan itu tidak logik kerana tidak selari formula pentadbiran negeri.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker