Warga asing, ‘orang belakang’ bakal dikenakan cukai
Oleh – Syeikh Baran
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) bakal mengenakan cukai kepada warga asing yang menjalankan aktiviti ekonomi mereka di negara ini tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, bukan sahaja warga asing malah ‘orang yang berada di belakang’ juga terutamanya yang memberi lesen kepada mereka bakal dikenakan cukai.
“Aktiviti ekonomi warga asing berkemungkinannya wajar dikenakan cukai, pihak kami akan lakukan satu tindakan bagi memastikan mereka semua membayar cukai sekiranya sudah sampai tahap yang memerlukan mereka membayar cukai.
“Bukan sahaja warga asing malah orang di belakang mereka terutamanya orang tempatan yang memberi lesen mereka kita akan buat semakan agar mereka mematuhi undang-undang percukaian negara,” katanya selepas mengadakan Sesi Libat Urus Bersama Media di Hotel Sunway Putra di sini hari ini.
Tambah Abu Tariq, bagi melaksanakan program tersebut, pihaknya akan turun padang dan mengenalpasti warga asing serta orang-orang yang berada di belakang mereka bagi menerangkan tentang sistem percukaian yang sepatutnya.
Katanya, warga asing yang belum melapor maklumat berkenaan pendapatan mereka perlu berbuat demikian manakala bagi yang telah melapor pula semakan lanjut akan dilakukan oleh pihak LHDNM.
“Kami perlukan maklumat untuk membuat penetapan bagi menentukan jumlah sepatutnya yang akan dikenakan cukai. Dengan maklumat itu juga kami akan dapat kenalpasti siapa yang berada di belakang mereka.
“Jika mengikut peruntukan sememangnya ada denda seperti penalti yang boleh dikenakan kepada warga asing ini,” jelasnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE.