10 kawasan, majoriti di Kedah rekod suhu panas tahap berjaga-jaga
Oleh – Syeikh Baran
Sepuluh kawasan di seluruh negara merekodkan suhu panas tahap berjaga-jaga setakat jam 6 petang tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurut makluman jabatan itu di Facebook hari ini, suhu tahap berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius, sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
MetMalaysia sebelum ini memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024.
Dalam tempoh itu, litupan awan dan taburan hujan lazimnya kurang di kebanyakan tempat, terutama di utara Semenanjung, termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.
Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.
Cuaca panas yang dialami ketika ini adalah fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei dan dalam tempoh ini, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang. – BERNAMA
Sumber – BERITA HARIAN